Presiden Mnangagwa pengerusikan mesyuarat politburo pertama


Presiden Zimbabwe, Emmerson Mnangagwa pada Rabu mempengerusikan mesyuarat politburo ZANU-PF yang pertama, sejak mengambil alih pemerintahan daripada Robert Mugabe tiga minggu lalu. Ia sekaligus menandakan permulaan proses rasmi yang membawa kepada kongres luar biasa ditetapkan pada Jumaat. – Gambar EPA, 14 Disember, 2017.

PRESIDEN Zimbabwe, Emmerson Mnangagwa pada Rabu mempengerusikan mesyuarat politburo ZANU-PF yang pertama, sejak mengambil alih pemerintahan daripada Robert Mugabe tiga minggu lalu, lapor agensi berita Xinhua.

Mesyuarat berlangsung di ibu pejabat parti, sekaligus menandakan permulaan proses rasmi yang membawa kepada kongres luar biasa ditetapkan pada Jumaat.

Agenda kongres, antara lain merangkumi pengesahan Mnangagwa sebagai presiden dan setiausaha pertama ZANU-PF, pengesahannya sebagai calon presiden parti untuk pilihan raya 2018 dan mengesahkan pengusiran anggota parti yang didakwa mempunyai hubung kait dengan bekas wanita pertama Grace Mugabe dikenali sebagai puak G40.

Mnangagwa, belum melantik dua timbalan menteri dan tidak dapat dipastikan sama ada beliau akan membuat  pengumuman mengenai perkara itu di kongres berkenaan. 

Menurut jurucakap parti, Simon Khaya Moyo, Mnangagwa akan mengekalkan anggota politik yang sama sehingga hujung tahun 2019.

Mesyuarat politburo itu akan disusuli mesyuarat jawatankuasa pusat parti pada Khamis. – Bernama, 14 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen