SEORANG pesara kerajaan kerugian RM49,490 selepas wanita warga emas itu ditipu sindiket Macau Scam yang mendakwa mangsa terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram dan dadah, dalam kejadian di Kepala Batas baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata wanita berusia 70-an itu pada mulanya menerima panggilan daripada seorang lelaki mendakwa pekerja di pejabat pos di Seremban, Negeri Sembilan dan memaklumkan terdapat surat atas nama mangsa yang mengandungi lapan keping kad kredit.
“Wanita itu menafikan semua kad kredit tersebut miliknya kerana tidak pernah memohon dengan mana-mana bank sebelum panggilan berkenaan kononnya disambungkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban dan bercakap dengan seorang lelaki mengaku sebagai anggota polis berpangkat sarjan.
“Sarjan itu kemudiannya memaklumkan pemeriksaannya mendapati wanita tersebut terlibat dalam pengubahan wang haram dan kes dadah malah seorang daripada suspek yang kononnya terlibat dengan mangsa juga telah ditahan, jadi pesara tersebut diminta untuk memberikan kerjasama kepada polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, lelaki kononnya sarjan itu turut meminta mangsa agar tidak memaklumkan atau menceritakan kepada sesiapa mengenai perkara berkenaan kerana ia masih dalam siasatan pihak polis dan mengarahkan pesara kerajaan itu supaya mengikut arahannya.
Noorzainy berkata berikutan terlalu takut, wanita itu mengikut segala arahan sarjan tersebut termasuk memberikan wang kononnya untuk wang jaminan dan perlindungan untuk polis kerana mangsa telah terlibat dalam jenayah.
“Mangsa kemudiannya memindahkan wang dengan melakukan transaksi sebanyak lima kali ke dalam dua akaun diberikan suspek membabitkan RM49,490 dan dia hanya menyedari ditipu selepas menceritakan kepada ahli keluarga sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut semalam,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain katanya seorang pembantu jualan kerugian RM6,960 selepas wanita berusia 27 tahun itu juga ditipu sindiket sama yang turut menggunakan modus operandi sama dengan mendakwa mangsa terlibat dalam pengubahan wang haram baru-baru ini.
Beliau berkata suspek mengarahkan mangsa memberikan nombor TAC yang diterima di telefon bimbitnya sebelum wanita itu menyemak akaunnya dan mendapati simpanannya sebanyak RM6,960 telah dipindahkan ke dua akaun lain yang tidak dikenalinya.
Noorzainy berkata mangsa membuat laporan polis semalam dan pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut kedua-dua kes berkenaan yang disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu.– Bernama, 3 Oktober, 2020.
Komen