Pertikaian MCA, Azmin berhubung pelantikan pemimpin kampung baru


Khoo Gek San

Naib Presiden Bersatu Mohamed Azmin Ali menggunakan penyokong setianya Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin untuk meraih sokongan kepada partinya dengan melantik orang luar di kampung baru Cina.– Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Oktober, 2020

MAINAN kuasa politik melibatkan Bersatu dan MCA menyebabkan banyak kampung baru Cina di seluruh negara terabai tanpa ketua kampung, menyebabkan parti Cina itu merasa lemah. 

Walaupun pelantikan itu merupakan tanggungjawab MCA di bawah pimpinan Barisan Nasional, parti itu seolah-olah diketepikan oleh Bersatu, khususnya oleh bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan penyokongnya.

Pemimpin MCA menyatakan parti mereka hilang kuasa untuk melantik ketua kampung kerana Azmin yang juga menteri kanan dan penyokongnya cuba meluaskan pengaruh mereka di kampung baru ini bagi mendapatkan sokongan masyarakat Cina kepada Bersatu.

Mereka mendakwa Azmin, melalui penyokongnya Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin, dilihat membuat lantikan daripada kalangan mereka.

Pada Ogos, kementerian melantik 109 ketua kampung untuk menerajui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kampung masing-masing, namun senarai lantikan berkenaan langsung tiada wakil MCA.

Ia menyebabkan MCA menolak untuk menamakan calon bagi 48 lagi baki jawatan itu.

Ketua Biro Kampung Baru MCA Ooi Eyan Hian memberitahu The Malaysian Insight bahawa Azmin dan sekutunya kini cuba meraih sokongan bukan Melayu.

“Secara tradisinya, sebagai sebahagian daripada gabungan pemerintah, MCA akan menyediakan senarai nama dan akan diluluskan kementerian tanpa mempersoalkannya.

“Sekarang, mereka minta kita sediakan senarai namun senarai yang diluluskan tidak sama dan kebanyakan mereka adalah daripada kumpulan yang menyokong mereka.

“Adakah mereka memberi habuan kepada penyokong mereka sendiri? Perkara ini tidak dibincangkan dengan MCA dan kita tiada pilihan selain menolak semuanya,” kata Ooi.

Tambahnya, susulan itu MCA telah menolak semua pelantikan ketua kampung persekutuan.

“Mereka dengan jelas tidak menghormati kami, dan kebanyakan ahli MCA yang menerima jawatan itu akan dikenakan tindakan disiplin.”

Ooi berkata jurang ini pasti akan memberi kesan kepada pengaruh MCA di kampung baru dan ia akan membenarkan Bersatu meraih sokongan dari akar umbi.

“Ketua kampung baharu ada tanggungjawab berat. Ini akan beri kelebihan kepada mereka (Bersatu) untuk daoatkan sokongan pengundi, tetapi ia pasti akan menjejaskan pengundi MCA. Mereka lakukan ini untuk mendapatkan sokongan,” kata Ooi.

Keputusan kementerian berhubung pelantikan

Data kerajaan menunjukkan setakat 2015, terdapat 613 kampung baru Cina di seluruh negara termasuk 436 kampung baru tradisi, 134 kampung baru rangkaian dan 43 kampung bagan.

Pegawai khas Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang bertanggungjawab terhadap kampung baru, Richard Tan memberitahu The Malaysian Insight terdapat 157 jawatan ketua kampung untuk 613 kampung baru di seluruh negara, dengan 109 jawatan itu sudah diisi manakala bakinya masih dalam proses.

Tan berkata berikutan keengganan MCA untuk terlibat, proses pelantikan kampung baru kini tertangguh.

Menurutnya terdapat juga beberapa ketua kampung yang dilantik oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini yang mana tempoh perkhidmatan mereka masih belum tamat dan tidak boleh digantikan lagi.

Mengenai aduan MCA yang mendakwa diketepikan daripada senarai ketua kampung Zuraida, Tan berkata parti Cina itu boleh mengesyorkan calon untuk jawatan berkenaan tetapi kementerian akan memberikan keputusan akhir.

“Walaupun MCA adalah sebahagian daripada Perikatan Nasional, saya merasakan ini adalah dalam skop pertimbangan kementerian. Menteri juga akan pertimbangkan cadangan kumpulan bukan kerajaan yang lain sebelum membuat keputusan,” katanya.

Tan yang memegang jawatan itu pada Mac tahun ini berkata, beliau terlibat dengan proses pelantikan ketua kampung tetapi menteri yang berhak untuk membuat keputusan berdasarkan pertimbangannya. – 6 Oktober, 2020.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen