Umno berpecah sokong atau tidak Perikatan, kata sumber parti


Noor Azam Shairi Diyana Ibrahim Kamles Kumar

Umno terbelah kepada dua kumpulan utama antara pemimpinnya yang selesa dengan kedudukan dalam kerajaan dan mereka yang diketepikan oleh PN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2020.

UMNO terbelah kepada dua kumpulan utama antara pemimpinnya yang selesa dengan kedudukan dalam kerajaan dan mereka yang diketepikan oleh pentadbiran Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin, kata sumber dalaman parti.

Kumpulan berjawatan mahu Umno kekal bekerjasama dengan gabungan parti memerintah sementara yang lain, termasuk mereka berdepan dengan kes di mahkamah, mendesak parti mengetepikan PN dan bersama dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, mereka yang kurang senang dengan keadaan sekarang termasuk Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi serta beberapa pemimpin lain yang mahu pertuduhan terhadap mereka “ditangani” selepas mereka menyokong Muhyiddin diangkat sebagai perdana menteri pada hujung Februari lalu.

Mereka mula membuat desakan itu selepas bekas perdana menteri Najib Razak didapati bersalah atas semua tujuh tuduhan di mahkamah – tiga bagi jenayah pecah amanah, tiga bagi pengubahan wang haram dan satu salah guna kuasa, yang dikaitkan dengan SRC International pada Julai.

Dua hari selepas keputusan kes itu Zahid mengumumkan Umno tidak akan menyertai PN. Umno sebaliknya mahu mengukuhkan kerjasama dengan PAS dalam Muafakat Nasional, dan kedua-dua parti kemudian menjemput Bersatu pimpinan Muhyiddin menyertai mereka.

Pemimpin Umno lain yang sedang berdepan tindakan mahkamah ialah bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor, timbalan ketua menteri Sabah yang baru dilantik Bung Moktar Radin, bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri Ahmad Maslan, dan bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim.

Sumber berkata ada kelompok ahli Parlimen Umno yang sedia menyokong Anwar, bukan untuk membentuk kerajaan bersamanya, tetapi untuk membuka jalan kepada pilihan raya lebih awal kerana PN akan hilang majoriti di Dewan Rakyat.

Langkah ini digerakkan oleh dua pemimpin kanan Umno yang tidak memegang jawatan dalam Majlis Kerja Tertinggi.

“Mereka sedia bawa ahli Parlimen Umno untuk tidak menyokong PN.

“Kalau ada yang masih hendak menyokong PN, misalnya mereka yang memegang jawatan dan ada dalam kerajaan, mereka boleh tinggal kekal.

“Tapi kumpulan ini tak mahu sokong lagi. Kumpulan ini ada 12 Ahli Parlimen,” kata sumber dalaman Umno kepada The Malaysian Insight.

Antara yang kurang senang dengan keadaan sekarang termasuk Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi serta beberapa pemimpin lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2020.

Anwar minggu lalu mengumumkan kerajaan Muhyiddin telah jatuh kerana beliau sudah mendapatkan sokongan yang meyakinkan untuk mengambil alih pentadbiran di Putrajaya.

Dalam reaksinya, Zahid berkata beliau tidak dapat menghalang ahli Parlimen yang mahu menyokong Anwar.

Bekas wakil rakyat Kempas Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat berkata ada pemimpin Umno yang selesa duduk dalam kerajaan sehingga rela Umno menyokong Bersatu.

“Ada satu kumpulan pemimpin yang selesa memegang dan mempertahankan kedudukan mereka dalam Kabinet. Satu lagi kumpulan berdepan dengan pelbagai perbicaraan di mahkamah.

“Mereka yang sudah memegang jawatan dalam kerajaan tentunya mahu status quo di bawah perdana menteri dari Bersatu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ahli politik Umno dari Johor itu berkata kerjasama dalam PN hanya untuk menubuhkan kerajaan tetapi tidak melibatkan Umno seluruhnya kerana keadaan akan berbeza apabila sampai ke peringkat rundingan kerusi untuk pilihan raya akan datang.

“Sudah dimaklumkan yang kami hanya akan kukuhkan Muafakat Nasional dan bersama dengan Bersatu dan PN sehingga habis penggal. Gabungan Perikatan ialah dengan ahli Parlimen Umno, bukannya dengan parti.

“Kerusi yang dimenangi oleh Umno akan kekal pada Umno dan tidak akan diserahkan kepada ahli Bersatu yang lompat parti selepas menang atas tiket Umno dan BN. Pemimpin atasan (Bersatu) patut berhenti putar belit kenyataan,” kata Tengku Putra Haron.

Kenapa bela Perikatan?

Beliau juga mempersoalkan Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa yang mempertahankan PN, dan tidak dilihat mengutamakan Umno.

“Misalnya, presiden dan timbalan presiden Umno buat kenyataan yang selari tetapi tiba-tiba setiausaha agung BN buat kenyataan lain.

“Beliau mungkin lupa yang beliau setiausaha agung BN, bukannya setiausaha agung PN,” katanya.

Tengku Putra Haron merujuk pada kenyataan Zahid bahawa terserah kepada ahli Parlimen Umno untuk menyokong Anwar, sementara timbalannya Mohamad Hasan menggesa Zahid menunjukkan hala tuju parti yang lebih jelas.

Annuar bagaimanapun katanya kelihatan menyokong PN apabila berkata gabungan itu bukannya mengetepikan atau membuli Umno.

Seorang lagi sumber juga memberitahu The Malaysia Insight pemimpin Umno yang menganggotai Kabinet Muhyiddin selesa dengan kedudukan dan tidak mahu meninggalkan perdana menteri.

Antara pemimpin Umno yang duduk dalam Kabinet Muhyiddin sebagai menteri ialah Ismail Sabri Yaakob (pertahanan), Hishammuddin Hussein (luar negeri), Reezal Merican Naina Merican (belia dan sukan), Dr Shamsul Anuar Nasarah (tenaga dan sumber asli), Noraini Ahmad (pengajian tinggi), dan Khairy Jamaluddin (sains, teknologi dan inovasi).

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa dipertikaikan apabila dilihat mempertahankan PN, dan tidak mengutamakan Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2020.

Bekas ahli Parlimen Umno di Setiawangsa Ahmad Fauzi Zahari berkata pemimpin ini cenderung bekerjasama dengan PN kerana ia peluang untuk Umno berubah sehingga dapat diterima semula oleh umum dalam pilihan raya akan datang.

“Untuk ke depan, sebelum mengambil apa-apa keputusan, parti perlu memutuskan bagaimana ia mahu orang menanggapinya. Ini bukan soal parti besar atau parti kecil, tetapi apa yang orang fikir.

“Umno sudah ada lebih 60 tahun. Ia tidak tahu jadi parti nombor dua tetapi ia perlu jadi lebih matang.

“Pemimpin yang bekerjasama dengan PN mahu mengubah bagaimana orang melihat Umno. Muhyiddin sudah menangani isu Covid-19 dengan baik dan popular. Rakyat mahu sebuah kerajaan yang stabil berbanding hal-hal lain,” kata Ahmad Fauzi.

Bekas timbalan ketua bahagian Umno Setiawangsa itu berkata pemimpin yang diketepikan dalam kerajaan bimbang mereka selepas ini akan dicantas.

“Parti tak salah apabila hendak mengubah keadaan. Ada beberapa orang yang masih mementingkan diri. Mereka ini bukannya dalam kerajaan dan mereka ini yang buat bising,” tambah Ahmad Fauzi.

Mohamad baru-baru ini menggesa Zahid menunjukkan pedoman kepada parti berkenaan hala tuju Umno selepas parti diketepikan oleh Perikatan rentetan pilihan raya Sabah.

Pengerusi Bersatu Sabah Hajiji Noor mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada Selasa manakala calon Umno untuk jawatan itu, Bung Moktar dilantik sebagai timbalannya.

Keputusan itu membangkitkan kemarahan banyak ahli Umno yang menganggap Bersatu membelakang parti itu.

Annuar antara yang dilihat mempertahankan PN apabila berkata Umno tidak diketepikan tetapi akan ada peranannya sendiri pada masa akan datang.

“Umno tidak di’sidelined’ malah punya peranan sangat besar,” tulisnya di Twitter.

Dalam satu hantaran lain, Annuar menulis: “Hala tuju kerjasama politik Umno sudah jelas. Ia digaris dengan nyata dalam Piagam Muafakat Nasional. Ia mesti bergerak atas paksi muafakat dan kesatuan.

“Persoalannya apakah kita istiqamah melaksanakannya atau kita goyah dek perkara lain yang mengganggu ‘iman politik’ kita.”

Jaga akar umbi

Pensyarah politik di Universiti Malaya Dr Awang Azman Awang Pawi menganggap kenyataan Annuar itu untuk meredakan akar umbi parti kerana tidak mahu parti berpecah ketika mereka masih dalam kerajaan.

“Beliau cuba meredakan keadaan. Akar umbi sangat marah selepas (apa yang berlaku di) Sabah. Mereka ingat dapat jawatan ketua menteri.

“Pendirian Annuar tidak selari dengan pendapat di akar umbi. Beliau mempertahankan dan cuba merasionalkan kenapa Umno patut kekal dalam gabungan kerajaan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurut Awang Azman, kumpulan Umno yang selesa dengan PN merasakan kalau ada pilihan raya nanti, Muhyiddin yang boleh memimpin mereka untuk menang, dan bukannya mana-mana pemimpin parti yang lain.

“Annuar rasa selesa dengan Bersatu, begitu juga beberapa menteri lain. Mereka rasa Muhyiddin masih akan jadi perdana menteri,” katanya.

Seorang sumber dalaman parti bagaimanapun memberitahu ada juga beberapa ahli Parlimen Umno yang tidak memihak dan mengambil sikap tunggu dan lihat.

“Mereka ini tak ramai tapi akan beri sokongan kepada salah satu kumpulan apabila masanya tiba,” katanya. – 3 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen