Petugas PRN Sabah wajib lakukan saringan Covid-19, kata KP Kesihatan


Elill Easwaran

Seramai 28,656 pegawai SPR bertugas pada PRN Sabah, meletakkan mereka dalam kumpulan berisiko tinggi jangkitan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Oktober, 2020.

KETUA Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah tidak mengesahkan laporan berita mengenai dua pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya positif Covid-19 selepas berkhidmat dalam Pilihan Raya Sabah baru-baru ini, walaupun beliau tidak menolak kemungkinan ia boleh berlaku.

“Mereka yang kembali dari Sabah terutama yang berkhidmat ada kemungkinan dijangkiti jadi itu sebabnya kita laksanakan saringan.

“Mereka yang dah kembali, kami wajibkan mereka melakukan ujian swab dan kuarantin,” katanya pada sidang media, hari ini.

Awal hari ini, Malaysiakini melaporkan pengesahan dibuat Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh bahawa dua pegawainya disahkan positif Covid-19 selepas pulang daripada PRN Sabah dan kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Katanya, pegawai tersebut mula menunjukkan gejala pada 25 September dan disahkan positif pada 28 September, sehari selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Seramai 28,656 pegawai SPR bertugas pada PRN Sabah.

Malaysia hari ini merekodkan kes harian tertinggi pernah disaksikan negara, sebanyak 287 kes.

Kes tertinggi sebelum ini adalah 277 kes direkodkan pada 4 Jun lalu. Pada Mac, kes harian tertinggi pernah dilapor adalah 235 kes. – 2 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen