Cina Amerika sambut tragedi Nanjing ke-80


Seorang wanita melihat kembali sejarah pembunuhan kejam di Nanjing pada 1937. Acara berkenaan bertepatan dengan ulang tahun ke-80 Nanjing jatuh ke tangan Jepun, yang turut menyaksikan kira-kira 300,000 bangsa Cina terbunuh, dan 20,000 wanita dirogol dalam kejadian pembunuhan beramai-ramai itu. – Gambar AFP, 14 Disember, 2017.

MESKIPUN sudah hampir 80 tahun berlalu, masyarakat Cina dan Asia di seluruh bandar raya Amerika Syarikat serta di Kanada, tetap menganjurkan majlis memperingati mangsa yang terkorban dalam kejadian pembunuhan kejam di Nanjing pada 1937, lapor agensi berita China Xinhua. 

Di New York, yang menyaksikan ramai masyarakat Cina Amerika menetap di bandar itu, berkumpul di sebuah dataran di Chinatown, Manhattan pada Rabu untuk memberikan penghormatan kepada hampir 300,000 mangsa.

“Kami berharap lebih ramai orang akan tahu mengenai sejarah kejadian itu, seterusnya menghargai serta menghayati keamanan dan kestabilan yang ada pada hari ini,” katanya presiden United Fujianese of America Association Zheng Shigan.

Sementara itu, setiausaha agung persatuan, Zeng Xianqiu berkata, golongan muda perlu menjadikan sejarah itu sebagai ikhtibar serta pengajaran supaya tragedi sedemikian tidak berulang. 

Acara berkenaan juga bertepatan dengan ulang tahun ke-80 Nanjing jatuh ke tangan Jepun, yang turut menyaksikan kira-kira 300,000 bangsa Cina terbunuh, dan 20,000 wanita dirogol dalam kejadian pembunuhan beramai-ramai itu.

Pada Ahad, ratusan masyarakat Cina, Korea dan Filipina di San Francisco turut berkumpul sebagai tanda penghormatan kepada mangsa. 

Sementara itu, di Vancouver ratusan berkumpul di gimnasium di Chinatown pada hari Selasa dan gambar-gambar berkaitan kejadian tersebut turut dipamerkan.

“Kejadian itu merupakan satu sejarah hitam dan apabila melihat gambar kejadian, saya merasa sangat sedih dan simpati kepada mangsa yang terkorban…,” kata Konsul Jeneral ke Vancouver, Tong Xiaoling. – Bernama, 14 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen