Zahid arah Umno tangguh mesyuarat bahagian kerana Covid-19


Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan dalam satu kenyataan berkata semua mesyuarat perwakilan Wanita, Pemuda, Puteri dan Bahagian ditangguhkan serta-merta susulan kes Covid-19 naik mendadak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Oktober, 2020.

UMNO menangguhkan serta merta mesyuarat bahagian parti serta semua peringkat sayap yang sepatutnya bermula hujung minggu ini susulan kes jangkitan Covid-19 yang bertambah mendadak, umum setiausaha agungnya Ahmad Maslan.

Kementerian Kesihatan hari ini mengumumkan 260 kes positif baharu di seluruh Malaysia untuk hari ini sahaja, yang tertinggi sejak Jun.

Menurut Ahmad, keputusan penangguhan itu diarahkan oleh presiden Ahmad Zahid Hamidi.

“Presiden Umno telah mengarahkan saya agar memaklumkan bahawa semua mesyuarat/persidangan perwakilan Wanita, Pemuda, Puteri dan Bahagian mestilah ditangguhkan serta merta.

“Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga berpandangan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan melalui portal Umno Online, petang tadi.

“Kita tidak boleh mengambil risiko dan kita tidak mahu Umno dipersalahkan,” tambahnya.

Menurut Ahmad, penangguhan ini adalah sehingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Umno menetapkan mesyuarat bahagian berlangsung antara 15 September hingga 30 Oktober, diikuti konvensyen negeri 1 hingga hingga 23 November.

Perhimpunan Agung Umno dijadual pada 27 dan 28 November.

Mesyuarat bahagian Umno hujung minggu ini ditetapkan ketika pemimpin serta ahli di akar umbi sekali lagi terus mempertikaikan kepimpinan Ahmad Zahid, yang disifatkan tiada hala tuju.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dalam satu kenyataan hari ini meminta Umno segera perlu memikirkan semula kerjasama politiknya dengan parti-parti lain selepas diketepikan di Sabah.

Beliau memintaZahid untuk “memberikan pedoman dan hala tuju jelas” kepada parti dan ahli mengenai kerjasama politik Umno.

Jelas beliau, Umno akan dinilai oleh rakyat atas apa yang ia tawarkan untuk Malaysia dan bukan pengorbanannya untuk parti lain.

Sebelum ini, beberapa pemimpin Umno memberitahu The Malaysian Insight ada gerakan dalam parti mendesak Ahmad Zahid untuk menarik balik sokongan Umno kepada kerajaan Muhyiddin Yassin. – 1 Oktober, 2020.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen