Permohonan sekat urus niaga babit dana PetroSaudi didengar 10 November


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan tarikh baharu bagi mendengar permohonan kerajaan untuk menyekat sebarang urus niaga berhubung wang berjumlah AS$340,258,246.87 milik PetroSaudi International Ltd (PSI) dan subsidiarinya PetroSaudi Oil Services (Venezuela) Limited (PSOS-VZ).

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan 10 November ini untuk mendengar permohonan itu selepas peguam PSOS-VZ, Alex Tan memberitahu mahkamah bahawa terdapat perkembangan baharu berhubung perkara itu dan memohon tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan pada 5 Oktober ini, ditangguhkan ke tarikh lain.

“Terdapat beberapa perkembangan baharu dan pihak-pihak terbabit memerlukan masa untuk melihat semula perkara ini serta mendapatkan arahan seterusnya,” kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya Budiman Lutfi Mohamed berkata pihak pendakwaan tidak membantah permohonan pertukaran tarikh tersebut.

Nazlan kemudian bertanya kepada peguam Mohd Yusof Zainal Abiden yang mewakili Tarek Obai, pengasas bersama PSI, sama ada peguam berkenaan bersetuju dengan penangguhan itu dan Yusof berkata: “Ya, kami juga berpandangan yang sama. Perkembangan yang dimaklumkan rakan saya (Tan) juga membabitkan anak guam saya”.

Semasa ditanya mengenai perintah larangan sementara oleh mahkamah terhadap pemindahan dana ke entiti lain sehingga kes utama selesai, Tan dan Yusof memaklumkan bahawa perintah itu telah dipatuhi.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita kemudiannya, Tan enggan mengulas mengenai perkembangan baharu berkenaan.

Pada 16 Julai lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan kerajaan untuk mendapatkan satu perintah sementara bagi menghalang PSI, pengarahnya Tarek Obaid dan anak syarikat itu PSOS-VZ daripada mengalih wang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disimpan dalam akaun pelanggan di sebuah firma guaman di UK kepada entiti lain.

Perintah sementara itu adalah bagi mengekalkan status quo pihak-pihak yang terlibat sehingga pelupusan permohonan kerajaan bagi mendapatkan perintah sekatan ke atas sebarang urus niaga membabitkan wang milik PSI dan PSOS-VZ yang kini disimpan dalam akaun eskrow dipegang oleh Clyde & Co Co LLP di UK.

Selain wang berjumlah AS$340,258,246.87, kerajaan dalam permohonannya turut memohon wang yang tidak dinyatakan jumlahnya yang disimpan dalam akaun bank perantara atas nama Temple Fiduciary Services Limited di Barclays Bank, UK. 

Permohonan itu, yang difailkan mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA), menamakan Tarek, PSI, PSOS-VZ, Clyde & Co serta Temple Fiduciary sebagai responden pertama hingga kelima.

Pada 19 Ogos, Nazlan membenarkan PSOS-VZ mengeluarkan AS$1.357 juta daripada  US$340,258,246.87  itu selepas membenarkan permohonan syarikat untuk meminda perintah interim yang melarangnya memindahkan wang terbabit ke entiti lain.

PSOS-VZ memohon untuk meminda terma perintah interim tersebut agar sebahagian daripada wang dilepaskan bagi pembayaran perbelanjaan perniagaan dan kos guaman. 

Sejumlah AS$1.357 juta itu untuk dibayar kepada firma guaman Kerman & Co yang berpangkalan di UK selepas selesai kes timbang tara melibatkan syarikat itu. – Bernama, 1 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen