Politik punca api perkauman menjadi-jadi


SAYA ingin menjawab persoalan yang dibangkitkan Perdana Menteri ke-8, Muhyiddin Yassin yang menyatakan isu politik identiti atau politik ras tidak boleh berterusan namun ia juga tidak boleh dihapuskan secara keseluruhan. 

Saya bersetuju dengan kenyataan perdana menteri yang berkata isu politik identiti atau politik ras tidak boleh berterusan namun ia juga tidak boleh dihapuskan secara keseluruhan. 

Ironinya beliau sendiri seorang ahli politik yang menggunakan politik perkauman untuk kekal relevan dalam dunia politik Malaysia hari ini.

Persoalan saya kepada perdana menteri, bagaimana negara ingin bergerak ke hadapan jika ahli politik sendiri gemar bermain isu perkauman setiap kali pilihan raya? 

Mungkin Muhyiddin mempunyai visi bagi mengatasi masalah ini atau adakah ia sekadar ucapan retorik penyedap rasa untuk rakyat Malaysia?

Sebelum ini Malaysia mempunyai Dasar Ekonomi Baru untuk membantu kaum Melayu dan Bumiputera tetapi hakikatnya hari ini kaum Melayu paling ketinggalan dari segi ekonomi walaupun hampir 60 tahun negara ini diperintah oleh kerajaan yang berjuang demi kaum Melayu. 

Jadi, apa rasionalnya hari ini perdana menteri sendiri juga membentuk sebuah parti yang berbentuk perkauman tetapi pada masa sama berkata politik ras tidak boleh berterusan?

Ucapan beliau sepertinya “not walk the talk”. Selepas ini kita masih akan mendengar riuh gendang politik perkauman dimainkan oleh rakan komponen kerajaan parti Perikatan Nasional (PN) namun perdana menteri kita diam seribu bahasa tanpa mengambil tindakan lanjut.

Saya menyarankan agar perdana menteri mengambil tindakan pada mana-mana individu yang sengaja melakukan provokasi perkauman di media sosial di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998. 

Isu perkauman ini sering dimainkan di laman sosial. Contohnya kes arwah Adib, isu pemandu mabuk dan sebagainya yang akhirnya menyemarakkan lagi isu perkauman di negara ini.

Jika beliau benar serius seeloknya bermula dengan menjatuhkan hukuman terhadap mana-mana individu yang sengaja melakukan provokasi perkauman. 

Kita tidak mahu media sosial dijadikan gelanggang untuk mencetuskan lebih banyak sentimen perkauman pada masa akan datang. – 1 Oktober, 2020.

* Yuslaini Azmi, ketua Biro Wanita Terengganu.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen