KEMENTERIAN Sumber Manusia akan menyiasat dakwaan berhubung buruh paksa dalam proses pengeluaran FGV Holding Bhd, kata menterinya, M. Saravanan.
Kementerian bimbang dengan pengharaman Amerika Syarikat (AS) terhadap produk FGV Holding kerana dakwaan tersebut, katanya.
“Pada masa ini, negara sangat bergantung pada eksport kita, dan minyak sawit adalah antara yang meningkatkan pendapatan kita.
“Ini tidak baik untuk negara kita,” katanya hari ini.
Para pegawai sedang menyiasat keadaan di ladang FGV Holdings, katanya.
“Isu ini berkaitan dengan sektor perladangan Sabah dan Sarawak. Pekerja di sana dan anak-anak mereka dikatakan terlibat.
“Tetapi masih terlalu awal. Biar saya menghubungi pegawai saya untuk mendapatkan data lengkap mengenai isu ini.”
Beliau berkata duta besar AS sudah memaklumkannya mengenai tindakan yang masih tergantung oleh pihak Kastam dan Kawalan Sempadan AS (CBP) tetapi dia tidak menyangka ia akan berlaku lebih awal.
“Saya sudah diberitahu mengenai perkara ini beberapa hari lalu oleh duta besar tetapi tidak menyangka ia akan berlaku begitu cepat.”
Kementerian akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri mengenai tuduhan itu, kata Saravanan, sambil menambah kesatuan sekerja menentang langkah untuk melaksanakan Akta 446 untuk menangani masalah tersebut.
Akta 446 merujuk kepada Akta Piawaian Perumahan dan Kemudahan Minimum Pekerja (Pindaan) 2019, yang menyentuh mengenai penyediaan kemudahan perumahan, penginapan dan pekerja.
Akta 446 (Pindaan) 2019 juga bertujuan memperbaiki tempat tinggal dan masalah pekerja asing seperti ruang, kemudahan asas, keselamatan dan kebersihan.
“Sementara itu, saya diberitahu yang syarikat perladangan besar lain akan diharamkan tidak lama lagi.”
Saravanan enggan menamakan syarikat terbabit. – 1 Oktober, 2020.
Komen