MAHKAMAH Indonesia pada Khamis, menolak petisyen melarang seks suka sama suka luar nikah kerana bimbang peningkatan sikap tidak bertoleransi di negara majoriti Islam terbesar di dunia itu.
Lima daripada sembilan hakim Mahkamah Perlembagaan di ibu kota Jakarta selepas mempertimbangkannya dengan teliti menolak usaha menjadikan hubungan seks luar nikah sebagai satu jenayah.
Petisyen yang tidak berjaya itu akan menjejaskan heteroseksual dan hubungan sejenis (gay) yang belum berkahwin, mereka yang tidak boleh berkahwin di Indonesia - beberapa bulan selepas penahanan sekumpulan lelaki yang dituduh mengadakan “parti gay”.
Mahkamah mendengar semakan kehakiman yang difailkan oleh kumpulan aktivis Family Love Alliance yang berusaha meminda kod jenayah.
“Rayuan itu ditolak secara keseluruhannya,” kata ketua hakim Mahkamah Perlembagaan Arief Hidayat.
Di bawah undang-undang semasa, seks hanya menyalahi undang-undang Indonesia bagi homoseksual dan heteroseksual jika ia melibatkan golongan bawah umur.
Bagaimanapun, seks sejenis salah di sisi undang-undang di wilayah Aceh yang mengamalkan undang-undang syariah.
Di bawah undang-undang tempatan yang berkuatkuasa pada 2015, orang ramai juga boleh dihukum kerana melakukan seks hubungan sejenis dengan hukuman sehingga 100 sebatan.
Aceh mula melaksanakan hukum Islam setelah diberikan otonomi istimewa pada 2001, satu usaha oleh pemerintah pusat untuk menghapuskan pemberontakan pihak pemisah yang berlaku sejak sekian lama.
Terdapat reaksi negatif terhadap komuniti LGBT di negara itu tahun lepas apabila menteri kerajaan secara terbuka membuat kenyataan anti gay. – AFP, 14 Disember, 2017.
Komen