Kempen 'Najib pencuri' sudah kurang relevan, kata pengundi


Zaim Ibrahim

Kajian Merdeka Centre menunjukkan hampir enam dalam setiap 10 pengundi Melayu menerima keputusan mahkamah yang mendapati Najib Razak bersalah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Oktober, 2020.

NARATIF anti kleptokrasi dan anti rasuah tidak akan begitu berpengaruh lagi dalam pilihan raya umum akan datang, kata pengundi dan penganalisis, ketika Dr Mahathir Mohamad meneruskan kempen atas isu berkenaan melalui parti baharunya Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Dr Mahathir sepatutnya memberi fokus pada idea dan tawaran baharu yang diperjuangkan oleh partinya, kata mereka, ketika Najib Razak sudah dihukum oleh mahkamah dan rakyat semakin mula menerima pentadbiran Muhyiddin Yassin.

Kajian Merdeka Centre antara Julai dan Ogos lalu memberikan rating tinggi kepada Muhyiddin dan Perikatan Nasional pimpinannya. Perikatan juga hujung minggu lalu menang pilihan raya negeri Sabah, menggantikan pentadbiran Mohd Shafie Apdal.

Pengundi yang ditemui di Langkawi dan penganalisis berpendapat Dr Mahathir sepatutnya berhenti mengecam pemimpin lain dan memberi fokus pada idea dan tawaran baharu yang diperjuangkan oleh parti baharunya. 

Beberapa pengundi di Langkawi memberitahu The Malaysian Insight mereka masih menyokong Dr Mahathir dan Pejuang kerana mengenangkan jasa dan khidmatnya kepada penduduk di pulau itu.

Pengusaha dobi di Langkawi Yusuf Abdullah berkata secara peribadi beliau merasakan ucapan yang menghentam dan mengecam pemimpin lain tidak lagi berkesan untuk meraih sokongan pengundi.

“Sejarah membuktikan, kecaman demi kecaman yang berlebihan kurang berkesan, contohnya zaman Dr Mahathir jadi perdana menteri ke-4, pelbagai tuduhan dilemparkan oleh PAS. 

“Tapi lihat… orang semakin sokong Umno ditambah parti itu memang kuat di bawahnya (Dr Mahathir).

“Saya rasa Mahathir berulang-ulang cakap Najib pencuri, penyamun dan sebagainya mungkin kerana jika pendedahan tidak dibuat, orang Melayu akan mudah lupa,” katanya ketika ditemui selepas sebuah majlis Dr Mahathir di Langkawi pada hujung minggu lalu.

Orang ramai sudah tidak berminat dengan cerita Najib Razak mencuri namun pada masa sama masih hormat kepada Dr Mahathir Mohamad sebagai negarawan. – Gambar The Malaysian Insight, 1 Oktober, 2020.

Pada majlis itu, dalam ucapannya Dr Mahathir mengulangi cerita bagaimana Bersatu mengkhianati perjuangan Pakatan Harapan (PH) melawan Najib yang disebutnya sebagai pencuri dan penyangak.

Menurut Yusuf, Dr Mahathir perlu lebih berhati-hati menyentuh naratif anti kleptokrasi dan anti rasuah menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kerana ia mungkin akan menjadikan Najib lebih popular.

“Hentaman Dr Mahathir terhadap Najib perlu lebih berhati-hati… tetapi saya faham niat Mahathir mungkin tidak mahu amalan rasuah dalam kalangan pemimpin tua menular kepada pemimpin baru,” katanya.

Ahli Jawatankuasa Amanah Bahagian Langkawi Zabidi Yahya yang juga hadir di majlis sama turut sependapat naratif “Najib pencuri” sudah tidak berkesan lebih-lebih lagi di kawasan bandar.

“Dahulu ketika berkempen melawan Najib pada PRU14, ia memang berkesan hingga PH menang.

“Tetapi sekarang momentumnya sudah berbeza. Najib pun sudah jatuh hukum, suasana politik pun sudah lain.

“Di kawasan-kawasan bandar yang terdedah dengan laporan media dan internet, naratif Najib pencuri sudah tidak berkesan,” jelasnya.

Najib sedang menunggu rayuan terhadap sabitan dan hukuman terhadapnya selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan rasuah serta pengubahan wang haram melibatkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Zabidi menambah berdasarkan pergaulannya dengan masyarakat, orang ramai sudah tidak berminat dengan cerita Najib mencuri namun pada masa sama masih hormat kepada Dr Mahathir sebagai negarawan.

“Pejuang kena tampil dengan idea baharu, yang berbeza daripada Umno dan Bersatu. 

“Walaupun dengan pertahankan Melayu, kita tidak boleh menekan bangsa lain dan menganggap Malaysia untuk Melayu sahaja.

“Mereka perlu bersikap sederhana dan pada masa sama, membela nasib orang Melayu,” katanya.

Penganalisis mempersoalkan bagaimana Pejuang mahu menjenamakan parti mereka supaya lebih berani, telus, dan relevan untuk memperjuang agenda Melayu dan seimbang dengan kewujudan masyarakat majmuk di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Oktober, 2020.

Semasa lawatan ke kawasan Parlimennya di Langkawi hujung minggu lalu, Dr Mahathir sempat hadir ke majlis penerangan mengenai parti baharunya Pejuang.

Dalam ucapan hampir 40 minit, beliau mengulang ceramahnya tentang Najib seorang pencuri dan pemimpin yang korup, serta Bersatu keluar dari PH pada hujung Februari lalu, sehingga membawa kepada pertukaran kerajaan di Putrajaya dan di beberapa negeri.

“Bersatu keluar daripada PH dan sertai pakatan baru bersama Umno, yang pemimpinnya banyak bermasalah hingga ada didakwa di mahkamah, dan ada yang didapati bersalah.

“Dia masih bebas ke sana ke sini dan dakwa dirinya dianiaya. Dia juga sokong politik Melayu-Islam.

“Jadi apabila orang Melayu mencuri, tidak apa… ikut pendapat mereka. Mereka kata apa nak malu, itu bos kita?

“Pemimpin itu dihukum tetapi ada pihak yang tidak percaya dan tak setuju dengan hukuman mahkamah,” kata Dr Mahathir kepada hampir 80 hadirin dalam majlis di sebuah hotel.

Kajian Merdeka Centre antara akhir Julai dan awal Ogos lalu menunjukkan hampir enam dalam setiap 10 pengundi Melayu menerima keputusan mahkamah yang mendapati Najib bersalah.

Pejuang perlu idea baharu, kata penganalisis

Sementara itu, penganalisis di Institut Pulau Pinang Nidhal Mujahid berpendapat jika Dr Mahathir terus mengulangi perkara sama, orang ramai akan ada tanggapan Pejuang hanya ditubuhkan untuk masa sekarang dan bukannya untuk jangka masa panjang.

“Retorik ini mungkin berguna dalam pilihan raya umum yang lepas. Tapi keadaan sekarang akibat pandemik Covid-19, rakyat lebih pentingkan isu mencari nafkah dan ekonomi.

“Soalnya, bagaimana Pejuang mahu menjenamakan parti mereka supaya lebih berani, telus, dan relevan untuk memperjuang agenda Melayu dan seimbang dengan kewujudan masyarakat majmuk di Malaysia,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Penganalisis politik Serina Abdul Rahman, yang ditanya adakah kempen anti kleptokrasi masih boleh dijual untuk pilihan raya akan datang, berpandangan masyarakat ada hal lain yang lebih mereka utamakan.

“Saya kira orang sudah bosan dengan politik. Di kawasan luar bandar, apa yang mustahak ialah mereka ada cukup makan terutamanya ketika banyak orang hilang kerja dalam keadaan pandemik Covid-19,” kata Felo pelawat di Institut ISEAS–Yusof Ishak di Singapura.

Tambahnya, pihak yang mampu melakukan sesuatu untuk menangani isu ekonomi pasti mendapat sokongan. 

“Secara jujurnya, di peringkat akar umbi tiada siapa peduli apa yang ahli politik buat atau cakap, atau siapa yang berkuasa.

“Mereka mahu seseorang yang boleh menyelesaikan masalah dan membantu mereka mendapatkan pendapatan. Yang lain daripada itu, hiasan saja,” katanya. – 1 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen