GOLONGAN berpendapatan 40 peratus terendah (B40) memerlukan skim pembiayaan khas untuk membeli rumah, kata Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda).
Presidennya Soam Heng Choon berkata isu dibincangkan oleh Rehda mengenai bagaimana persatuan itu dapat memainkan peranan bersama kerajaan dan institusi kewangan.
Soam turut mempersoalkan perkembangan mengenai dasar kerajaan sebelum ini, seperti Skim Sewa-Beli (Rent To Own) untuk membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah.
Skim tersebut dilancarkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin, September tahun lalu.

“Sesetengah daripada mereka (pembeli) bekerja dalam ekonomi gig, jadi pendapatan mereka tidak stabil,” katanya pada sidang media mengenai Ekspo Hartanah Malaysia-HOC 2020-2021 akan datang, di Kuala Lumpur hari ini.
Selain itu katanya, pihak bank perlu membantu golongan B40 melalui pembiayaan dan memastikan maklumat produk pembiayaan disebarkan secara meluas kepada pembeli berpotensi.
Ekspo Hartanah Malaysia-HOC 2020-2021 akan diadakan di Pusat Pameran Mid Valley, Kuala Lumpur mulai2-4 Oktober ini. Sebanyak 35 pempamer, termasuk 25 pemaju, tiga institusi kewangan dan enam agensi kerajaan akan mengambil bahagian. – 30 September, 2020.
Komen