Bayi dilahirkan dengan jantung di luar selamat jalani pembedahan


Vanellope Hope Wilkins, dilahirkan pramatang tiga minggu lalu secara pembedahan, dipercayai menjadi bayi pertama di Britain yang mampu untuk bertahan dan ia sangat jarang berlaku. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Disember, 2017.

SEORANG bayi perempuan, yang dilahirkan dengan jantung di luar badannya, selamat menjalani tiga pembedahan dan kini dilaporkan dalam keadaan baik, menurut agensi berita Xinhua memetik laporan media Britain pada Rabu.

Vanellope Hope Wilkins, dilahirkan pramatang tiga minggu lalu secara pembedahan, dipercayai menjadi bayi pertama di Britain yang mampu untuk bertahan dan ia sangat jarang berlaku.

Bayi itu mula didiagnosis mempunyai “ectopia cordis”, menerusi imbasan yang dilakukan semasa ibunya Naomi Findlay, 31, hamil beberapa minggu.

Ibu bapanya, yang tinggal di Nottinghamshire kemudian dinasihatkan agar kandungan digugurkan. Namun ibu kepada dua anak itu, enggan berbuat demikian.

Selepas tiga minggu dilahirkan, Vanellope berjaya melalui tiga pembedahan di Hospital Glenfield, Leicester, bagi memindahkan jantungnya ke dalam dada.

Ibu bapanya menggelarkan Vanellope sebagai “real fighter”.

Kelahiran “ectopia cordis”, sangat jarang berlaku dengan hanya beberapa kes dalam sejuta kelahiran dan kebanyakannya meninggal dunia ketika dilahirkan.

Selain itu, bayi yang dilahirkan dengan keadaan itu kurang 10% berpeluang untuk hidup. – Bernama, 14 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen