Salma Hayek buka kisah luka ‘raksasa’ Weinstein


Pelakon terkenal Hollywood Salma Hayek turut mendakwa menjadi subjek gangguan seksual mogul dunia perfileman Harvey Weinstein. – Gambar AFP, 14 November, 2017.

PELAKON terkenal Hollywood Salma Hayek turut menjadi sebahagian daripada sekumpulan aktres wanita yang mendakwa mogul dunia perfileman Harvey Weinstein, melakukan gangguan seksual terhadapnya, dan pernah mengugut untuk membunuhnya.

“Selama bertahun-tahun, dia umpama raksasa bagi saya,” kata pelakon kelahiran Mexico itu dalam satu artikel disiarkan di The New York Times, memperincikan bagaimana terseksa dirinya ketika penghasilan filem “Frida” pada 2002.

Namun, Hayek mendapat pencalonan Oscar bagi kategori pelakon wanita terbaik menerusi filem itu.

Selepas mencapai persetujuan untuk Weinstein membayar hak untuk filem yang akhirnya melonjakkan namanya, produser dan pelakon yang kini berusia 51 tahun berkata sekarang tiba masanya untuk dia kata tidak.

“Tidak lagi membuka pintu untuknya tidak mengira masa, satu hotel ke satu hotel, dari satu lokasi ke satu lokasi,” tulisnya.

“Tidak mahu lagi saya hendak mandi bersamanya. Tidak mahu lagi membiarkan dia melihat saya mandi. Tidak lagi mahu dia mengurut saya. Tidak mahu lagi membiarkan kawannya yang sedang berbogel mengurut saya. Tidak lagi mahu dia memberikan saya seks oral. Tidak mahu lagi membiarkan dia memaksa saya berbogel dengan wanita lain.”

Katanya, kegilaan Weinsten berlaku dalam setiap penolakan Hayek dan pernah berkata “aku akan bunuh kau, jangan ingat aku tak boleh”.

Hayek berkata ketika penggambaran, Weinsten merendahkan lakonannya, menegurnya kerana watak yang dimainkan tidak ada tarikan seks, dan hanya bersetuju untuk dia menghabiskan kerjanya jika bersetuju untuk melakukan babak seks dengan wanita lain, dan mendesak untuk “bogel sepenuhnya bahagian depan”.

Ketika penggambaran babak itu, Hayek berkata dia mengalami perasaan gemuruh yang sangat teruk hingga terpaksa mengambil ubat penenang. Bila filem itu siap, Weinstein didakwa berkata ia tidak cukup bagus untuk siaran pawagam dan mengugut untuk mengeluarkannya dalam bentuk video saja.

“Frida” – sebuah filem biografi tentang kehidupan pelukis Mexico Frida Kahlo – akhirnya berjaya memenangi dua anugerah Oscar dan mendapat lebih AS$56 juta.

“Lelaki melakukan gangguan seksual kerana mereka boleh buat begitu. Wanita bercakap mengenainya hari ini kerana pada era baharu ini, akhirnya kami mampu melakukannya,” kata Hayek.

Setakat ini, lebih 100 wanita secara terbuka mendakwa Weinstein atas salah laku seksual termasuk gangguan sehinggalah rogol sejak pendedahan dalam Times dan The New Yorker pada awal Oktober. Skandal itu mengakhiri kariernya, menguburkan syarikatnya dan menamatkan perkahwinannya. – AFP, 14 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen