Covid-19 melonjak, harapan perniagaan di Sabah pulih berkecai


Khoo Gek San

Beberapa pelanggan menikmati hidangan di kedai-kedai makan sekitar Tanjung Lipat, Kota Kinabalu, Sabah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2020.

PELBAGAI perniagaan di Sabah sedang melalui “perintah berkurung” kedua, selepas dihentikan seketika apabila jumlah jangkitan Covid-19 di negeri itu berterusan melonjak.

Selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) ditarik balik pada awal Jun, perniagaan dan industri mula menunjukkan tanda pemulihan dengan operator meramalkan keadaan akan bertambah baik menjelang akhir tahun.

Bagaimanapun, keadaan itu berubah apabila jangkitan kes baharu Covid-19 mula meningkat di negeri itu, dengan sektor pelancongan, makanan dan industri kecil dan sederhana kini bersiap sedia untuk berdepan satu lagi musim yang sukar.

Wabak virus itu paling teruk kini di Tawau (332), Semporna (351), Lahad Datu (145) dan Kunak (54), membawa kepada sejumlah 882 kes jangkitan, dengan empat kematian, menyebabkan kerajaan menguatkuasakan PKP diperketatkan (PKPD) di empat daerah berkenaan.

Pada masa ini terdapat 11 kluster aktif di Sabah – Benteng Lahad Datu, Laut, Pulau, Selamat, Bakau, Kuarters, Bangau-Bangau, Buang Sayang, Kampung Sakong, Jalan Bomba dan Jalan Utara dengan jumlah jangkitan di negeri itu sebanyak 953.

Pengurus cabang Sabah Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Kennedy Fung berkata pelancongan di negeri itu mulai pulih pada Jun dan Julai, di mana ramai pelancong dari semenanjung berkunjung ke pantai di kepulauan Sabah.

Walaupun masih jauh lagi untuk pulih sepenuhnya, pemain industri mengganggarkan trend itu akan berterusan hingga hujung tahun.

Namun, optimisme itu tenggelam akibat gelombang kedua jangkitan di Sabah, dengan kebanyakan tempahan untuk September dan Oktober dibatalkan.

Seorang pesakit Covid-19 mendaki Gunung Kinabalu 11 hari sebelum didapati positif menyebabkan laluan itu kini ditutup 14 hari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2020.

“Pada Julai dan Ogos, ramai pelancong datang bercuti di Sabah, terutama di pulau-pulau. Malah ada yang datang untuk mendaki. Banyak destinasi pelancongan penuh,” kata Fung kepada The Malaysian Insight.

“Tempahan dibuat hingga November dan Disember, tetapi sekarang dengan wabak makin memburuk di sini, 90% tempahan untuk September dan Oktober dibatalkan. Tidak tahu lagi sama ada keadaan sama akan berlaku bagi tempahan November dan Disember.”

Beliau berkata operator pelancongan tempatan melihat peningkatan jumlah pelancong di Sabah sebagai isyarat baik tetapi harapan itu berkecai dengan kenaikan jumlah kes dan kini menjangkakan keadaan akan sukar dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Sebahagian syarikat memulangkan kembali wang pelancong, ada juga pelancong yang menangguhkan lawatan mereka ke tarikh akan datang.

“Bagi trip mendaki gunung, seorang pesakit Covid-19 mendaki Gunung Kinabalu 11 hari sebelum didapati positif, dan laluan itu kini ditutup untuk 14 hari, menyebabkan semua tempahan ditangguhkan,” katanya. – 30 September, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen