Jeffrey Kitingan akan letak jawatan timbalan menteri persekutuan


Presiden Star Jeffrey Kitingan hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai timbalan ketua menteri Sabah serta diberi tugas Menteri Pertanian dan Perikanan negeri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 29 September, 2020.

JEFFREY Kitingan akan melepaskan jawatan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dalam kabinet Muhyiddin Yassin selepas dilantik sebagai timbalan ketua menteri dan menteri dalam kerajaan baharu Sabah, lapor Bernama. 

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku Sabah (Star) itu hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai timbalan ketua menteri Sabah serta diberi tugas Menteri Pertanian dan Perikanan negeri.

“Saya pulang dahulu (ke Kuala Lumpur) dan kemas barang, kemudian terus fokus Sabah. 

“Saya mahu bantu rakyat terutama orang kampung yang terlibat dalam pertanian,” katanya, seperti dipetik Bernama.

Dalam pilihan raya negeri pada Sabtu lalu, Jeffrey mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Tambunan dengan majoriti 6,792 undi dalam pertandingan enam penjuru.

Jeffrey, 72, adalah Adun Tambunan sejak 2018 dan sebelum itu Adun Bingkor selama dua penggal (1999 dan 2013).  Beliau juga sekarang Ahli Parlimen Keningau.

Menurut Jeffrey, beliau mahu mengukuhkan portfolio yang diberikan kepadanya dengan memajukan sektor makanan di Sabah yang dapat juga membantu sosio-ekonomi rakyat negeri.

Sementara itu, seorang lagi timbalan ketua menteri Dr Joachim Gunsalam juga berjanji memberi khidmat terbaik kepada rakyat Sabah.

Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) itu, yang menang kerusi DUN Kundasang, juga turut dilantik sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah.

“Saya berterima kasih kepada Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Ketua Menteri Sabah yang baharu Hajiji Noor kerana  mencadangkan saya untuk memegang jawatan ini. 

“Selepas ini saya berjumpa dan akan mendengar taklimat daripada pegawai dari Kementerian Pembangunan Perindustrian untuk merangka hala tuju kementerian ini, saya akan melaksanakan tanggungjawab ini sebaik mungkin,” katanya.

Mereka ditemui wartawan selepas majlis angkat sumpah jawatan di Istana Negeri di Kota Kinabalu hari ini. β€“ 29 September, 2020.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen