Soalan kepada Muda


Hadri Shah

MENJADI impian setiap jiwa berkerajaankan kerajaan separuh malaikat, yang tulus ikhlas, yang tabligh dan fatanah.

Juga, menjadi impian setiap jiwa diwakili sebuah parti politik yang keras semangat juangnya, pemberani dan sanggup menggadai siang dan malam membela nasib serta kebajikan rakyat jelata. 

Apakah impian sebegini kedengaran terlalu utopis? Meloyakan?

Tentu sekali tidak, tuan-puan.

Memang menjadi fitrah manusia mendambakan pimpinan sang pemimpin mulia. Memang menjadi keinginan manusia mengalami pengalaman melihatkan sang pemimpin mencurahkan sepenuh bakti – membina, mengatur, membuat keputusan untuk yang dipimpin. 

Rakyat ingin mencium persona mereka yang berakhlak elok. Yang tertib dan amanah. Yang datang menyuapkan nasi saat perut berkerut lapar. 

Namun sayang seribu kali sayang, sejarah dunia mencetak kenyataan sebaliknya. Realitinya menyakitkan. Lebih banyak syaitan yang memimpin daripada yang malaikat yang taat. 

Beberapa minggu lalu, Muda tiba dengan kontroversi. Sketsa politik sarkis tanah air pantas terlalih tumpuan terhadap barisan ini. 

Muda hadir dengan karakter yang bukan ‘biashe-biashe’, tuan-puan. 

Dari bekas menteri belia, teknokrat muda, aktivis, CEO pelbagai organisasi, ahli korporat, petani moden berjaya, Muda menyerlahkan wajah mereka dengan kosmetik ‘segar’.

Menurut pandangan saya, Muda, seperti tipikal parti lain hadir di medan politik untuk berjuang. Tiada parti politik ditubuhkan bukan dengan tujuan sesuci ini. Hatta parti lebai sekalipun, tertubuh atas sebab perjuangan kudus – walaupun kita semua tahu mereka watak-watak kelakar yang layak beraksi di pentas komedi.

Yang membezakan Muda dengan parti sedia ada ialah, katanya, “Muda akan meniup nafas segar lantas membawa perubahan baru kepada iklim politik negara”.

Saya lantas meninjau-ninjau laman web mereka. Kemas dan sederhana susun aturnya. Saya suka cara ‘posing’ gambar hitam putih watak-watak Muda yang dipapar dalam web – mengingatkan saya kepada kugiran-kugiran pop. 

Namun, maaf. Isinya tidak terlalu revolusioner. Benda-benda biasa yang boleh ditemui di parti politik lain.

Sederhananya, ia umpama memilih antara KFC dan McDonald’s.

Kalau mahu kelihatan  ‘remaja’, urban dan moden, pilihlah McDonald’s. Kalau mahu nampak lebih umum dan memiliki nilai-nilai kekeluargaan, KFC pilihan yang bagus.

Kedua-duanya menyajikan ayam goreng, burger, kentang goreng, dan air berkarbonat. Hanya rempah ratus yang berbeza. Buatlah pilihan. Selera masing-masing. 

Sebagai seorang yang masih muda, saya gagal memujuk hati menyanjung Muda. Saya dambakan sesuatu yang berlainan. Radikal. Budaya tanding. Saya lelah disogok memilih antara McDonald’s dan KFC. Memilih yang kurang mudarat. Seolah-olah dunia ini terbatas.

Dalam keadaan politik global yang menyaksikan kelas pemerintah mendominasi, punya kuasa menentukan nasib hidup manusia kebanyakkan, yang diperlukan ialah radikalisme. Bukan angkat senjata atau perang. Tetapi radikalisme idea baharu, segara dan berlainan yang akan menjadi alat menggantikan aturan yang sedia ada.

Bak kata Profesor S. Murray Bookchin dalam perenggan awal makalahnya, The Communalist Project (2002): “Sama ada abad kedua puluh satu akan menjadi masa yang paling radikal atau yang paling reaksioner, atau hanya akan memasuki era kelabu yang tidak biasa, akan sangat bergantung pada jenis gerakan sosial dan program yang diciptakan oleh radikal sosial secara teoritis, kekayaan organisasi, dan politik yang telah terkumpul selama dua abad terakhir era revolusi.”

Walaupun menurut saya, tawaran mereka hanyalah tawaran ‘biasa-biasa’, saya merasakan keperluan bertanyakan Muda beberapa soalan dari hanyut mengkritik secara membabi buta.

1. Apa mazhab demokrasi Muda? 

Seringkali  mendengar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengatakan janjinya membawa suara anak muda. Seringkali mendengar kegeraman beliau apabila suaranya di Parlimen dikritik dinosaur-dinosaur tua lalu mengheret kesemua anak muda yang tiada kena mengena supaya turut merasa terhina. 

Tetapi persoalan lebih pentingnya, apa pegangan demokrasi yang dianuti Muda? 

Apakah parti ini bercita-cita untuk memimpin dari menerapkan semangat demokrasi langsung? 

Apakah Muda sama dengan parti sedia ada akan turun ke lapangan pasar malam, ke rumah orang-orang biasa dan kemudian menyiapkan teks manifesto memperjuangkan nasib mereka?

2. “Kami mengumpul dana awam untuk memulakan gerak kerja parti. Parti politik secara tradisinya mengharapkan dana korporat, penderma yang bermurah hati, ataupun mana-mana putera raja”. 

Bagus. Caranya macam Bernie Sanders. Tetapi selama mana dapat bertahan? 

Katakanlah ada seorang kapitalis muda yang berjaya dunia akhirat menyukai kerja-kerja Muda dan berhasrat menyalurkan dana buat gerak kerja, macam mana? Macam mana? Beli kesemua t-shirt yang berbaki? 

3. Saya menyokong pendirian Muda yang mahukan politik membumi – merentas warganegara, kaum, agama dan gender. Dalam hal ini, pegangan kita mesti jelas sejelasnya. Lagi-lagi dalam dunia di mana konservatisme sedang membiak gilang gemilang. 

Apakah apabila isu pendatang asing tanpa izin kembali menggegar suatu hari nanti, Muda akan bercakap soal sempadan dan kemestian menjaga pintu negeri? 

Atau apabila isu LGBT kembali menggamit, Muda hanya akan ‘play safe’ seperti kebanyakan dinosaur-dinosaur tua konon progresif?

4. Umno boleh memikat hati sepelusuk kelas masyarakat. Dari kampung hingga ke kota besar. Mereka boleh menampakkan sisi urban bila perlu. Sisi melayu tulen ketika songkok di atas kepala. Sisi beragama saat petah memetik surah kitab suci. Sisi muda ketika berkonvoi ke sana ke mari. Bagaimana pula dengan Muda? 

Apakah caranya menambat hati masyarakat: kelas pekerja, kaum yang sudah lama terpisah, anak muda dan dewasa yang sentiasa berbalah dan kaum agama yang kekal berseteru? 

Muda, kalau aroma Bangsar yang dipilih, maka payahlah perjalanan ini. 

5. Dan yang terakhir, mengapa pilih jalan ini, wahai Muda? Adakah ini satu-satunya jalan berjuang? Adakah ini satu-satunya cara merampas kuasa dan mentadbir cara yang kamu mahukan? 

Che Guevara menolak pelawaan Castro usai hari-hari revolusi. Graeber sehingga ke akhir hayatnya meragui kuasa sentral meski membantu Jeremy Corbin. Bakunin menentang keras Marx bersama gagasan kekuasaan proletariat ke atas Negara.

Dan bukankah Malatesta pernah berpesan – bukan tanggungjawab kita membebaskan masyarakat, bahkan masyarakatlah yang bertanggungjawab membebaskan diri mereka sendiri?

Barangkali saya tersilap; bahawa kerja mahu membebaskan akhirnya akan memerangkap. Terperangkap dalam politik lama, elitis dan mesra modal. Sedangkan yang kekal kabur, usaha menyedarkan, memperkuasakan potensi masyarakat agar mereka tidak lagi bergantung kepada kelas pemerintah adalah perkara paling asasi saat ini.

Saya kira itu sahaja pertanyaan saya. Saya tidak berniat meluahkan kekecewaan kerana tiada harapan yang saya pasangkan. Saya tidak berniat memberi pesan kerana bukan itu jalan saya. Saya cuma bertanya kerana kiranya itu keperluan naluri saya. 

Tolong jangan menjawab setiap satunya dengan tulisan, karangan, artikel balas dan sebagainya. 

Tetapi jawablah dengan perbuatan dan tindakan. 

Menulis balas adalah perkara yang sering dibuat politikus tua. Mereka tiada masalah besar mengarang panjang lebar teks ucapan dan manifesto. 

Tetapi mengotakannya dengan tindakan adalah dosa paling elegan yang selalu mereka buat. – 29 September, 2020.

* Hadri Shah, penulis buku Nasionalisme Longkang, merupakan seorang penggemar laksa dan kopi buatan pari pari dari kayangan. Hari-harinya dibazirkan dengan memerhati manusia dan selfie stick mereka di KLCC dan kemudian menulis tentang dunia di dalam tren. Pada subuh hari minggu, Hadri Shah bersama-sama buburborjuis berkongsi sarapan dengan teman-teman di Kuala Lumpur.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen