Agong jalani rawatan susulan di IJN, kata Istana Negara


Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjalani rawatan intervensi pada sendi lutut dan buku lali pada Khamis lepas dan kini berada dalam keadaan stabil serta tidak membimbangkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 September, 2020.

YANG Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan menjalani rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN), susulan kecederaan yang dialami ketika bersukan, kata Istana Negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata kecederaan itu dikesan susulan pengimejan MRI yang dijalankan pada Selasa lalu, selepas baginda dimasukkan ke IJN sehari sebelumnya kerana keracunan makanan.

Katanya, Al Sultan Abdullah sudah menjalani rawatan intervensi pada sendi lutut dan buku lali pada Khamis lepas dan kini berada dalam keadaan stabil serta tidak membimbangkan.

“Ekoran daripada rawatan intervensi ini, Seri Paduka Baginda telah dinasihatkan untuk menjalani rawatan susulan dengan pengawasan rapi pasukan pakar perubatan IJN.

“Al Sultan Abdullah dijadualkan berangkat pulang bersemayam di Istana Negara dalam masa terdekat setelah selesai menjalani rawatan susulan ini,” kata kenyataan tersebut.

Kenyataan tersebut mengambil maklumkan Al Sultan Abdullah sebelum ini aktif dalam sukan polo berkuda, bola sepak, skuasy, hoki, dan golf.

Kenyataan itu juga merakamkan penghargaan Al Sultan kepada rakyat yang prihatin dan mendoakan kesejahteraan baginda.

Baginda turut menzahirkan kebimbangan atas jumlah kes positif Covid-19 yang bertambah secara mendadak sejak kebelakangan ini, dan menyeru rakyat agar sentiasa berwaspada serta mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Ahmad Fadil juga menyeru rakyat untuk sama-sama mendoakan Al Sultan Abdullah sembuh segera dan sihat berpanjangan. 

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim minggu lalu berkata beliau sepatutnya menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa (22 September) setelah mendakwa mempunyai sokongan “kukuh dan meyakinkan” daripada ahli Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan baharu di Putrajaya.

Pertemuan itu ditangguhkan kerana Seri Paduka dimasukkan ke hospital.

Istana Negara turut mengesahkan Anwar dan isteri Dr Wan Azizah Wan Ismail sepatutnya menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa lalu.

Kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja hari ini bagaimanapun langsung tidak menyebut mengenai perkara itu. – 28 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen