Harga bahan binaan tak mungkin naik, kata pemain industri


Khoo Gek San

Harga bahan binaan tidak mungkin akan naik dalam masa terdekat disebabkan permintaan dalam pasaran hartanah yang perlahan, kata pemain industri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 September, 2020.

PERMINTAAN pembeli yang perlahan dalam pasaran hartanah menjadi faktor utama mengapa sektor pembinaan lambat untuk pulih di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), kata pemain industri.

Situasi ini diburukkan lagi oleh kenaikan kos pengangkutan dan masalah kurang tenaga kerja disebabkan dasar kerajaan ke atas pekerja asing, tambah mereka.

Ini menyebabkan ramai pemaju mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum melancarkan projek hartanah baharu.

Oleh itu, harga bahan mentah binaan tidak mungkin akan naik, kata mereka.

Ia susulan pengguna menyuarakan kebimbangan harga bahan mentah tertutamanya simen akan naik, yang akhirnya akan menyebabkan pemaju menaikkan harga hartanah.

Harga simen domestik naik secara berterusan tahun lalu. Pada pertengahan tahun lalu, harga bahan itu meningkat sebanyak 40% meskipun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan pemaju cuba mengelakkannya berlaku.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Mah Sing Benjamin Ong memberitahu The Malaysian Insight harga bahan binaan tidak mungkin akan naik dalam masa terdekat.

Ini disebabkan oleh permintaan dalam pasaran hartanah yang perlahan, katanya.

“Perancangan bagi projek baharu dalam beberapa bulan akan datang akan jadi perlahan. Permintaan rendah, dan pemaju juga tidak rancak lancarkan projek hartanah baharu, jadi permintaan terhadap bahan binaan akan kurang.

“Ramai pemaju lebih rela turunkan harga atau jalankan projek yang tidak berapa menguntungkan, kerana jika tidak mereka akan tanggung kerugian lebih besar.

“Jika ekonomi lambat pulih, pasaran akan menjadi lebih teruk,” katanya.

Tabah beliau, pemaju kini mengurangkan rancangan pembinaan hartanah mewah memandangkan pembeli beralih kepada hartanah kelas pertengahan.

“Simen dan keluli menyumbang 25% daripada jumlah keseluruhan kos. Pembekal tidak mungkin akan naikkan harga bahan binaan atas faktor permintaan ke atas pasaran yang kurang.”

Pemaju tunggu dan lihat

Sementara itu, bekas pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Johor Steve Chong Yoon On berkata pemaju tidak akan memindahkan kos tambahan bahan binaan seperti simen kepada pembeli untuk merangsang pasaran dan mendorong lebih banyak pembelian hartanah.

Tambahnya, pembeli hartanah terbahagi kepada empat kategori.

“Kategori pertama adalah mereka yang membeli untuk tujuan pelaburan, kedua adalah untuk pemilikan peribadi, ketiga adalah yang membeli untuk status, dan keempat adalah warga asing yang mahu menetap di negara ini.

“Bagaimanapun, memandangkan kita di tengah wabak Covid-19, pembeli membeli hartanah untuk tujuan pemilikan.

“Kebanyakan pembeli memilih rumah berharga antara RM600,000 dan RM800,000, yang mempunyai ruang untuk bercucuk tanam, serta dekat dengan sekolah, pusat beli-belah, pusat perniagaan dan padang golf,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurutnya, pasaran hartanah tempatan dijangka akan pulih, bergantung kepada tempoh vaksin Covid-19 berjaya dihasilkan. Selama itu juga, pemaju akan terus ambil pendekatan tunggu dan lihat, tambah Chong.

Beliau percaya harga bahan binaan tidak akan naik sehingga tahun depan. – 28 September, 2020.

Berita penuh di sini.      



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen