Pakar jangka ekonomi lebih kukuh pada suku terakhir tahun ini


Bernard Saw

Pakar ekonomi berkata kunci pemulihan ekonomi Malaysia bergantung pada penemuan vaksin yang akan menjadi penawar Covid-19. – 28 September, 2020.

PAKAR ekonomi menjangkakan pertumbuhan ekonomi akan menjadi lebih kukuh pada suku ketiga dan keempat tahun ini, selepas kemerosotan pada suku kedua 2020.

Malaysia mencatatkan penguncupan keluaran dalam negara kasar (KDNK) terendah sebanyak -17.1% pada suku kedua tahun 2020 ketika ekonomi mengalami kemerosotan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pandemik Covid-19.
 
Bank Negara Malaysia menjangkakan pertumbuhan KDNK sepanjang tahun antara -3.5 hingga -5.5% bagi tahun 2020.

Walau bagaimanapun, ahli ekonomi menjangka prestasi ekonomi akan menjadi lebih baik pada separuh kedua tahun ini seiring pemulihan ekonomi secara beransur-ansur mulai Mei dan bulan-bulan seterusnya. Ada juga yang menjangkakan pertumbuhan KDNK sebanyak dua digit pada suku ketiga tahun ini.

Hal ini demikian, kata mereka, akan bergantung kepada kepenggunaan sektor swasta didorong oleh sentimen pengguna dan perkembangan semasa pandemik.

Profesor Ekonomi Universiti Tunku Abdul Rahman Wong Chin-Yoong berkata sektor ekonomi dapat beroperasi seperti biasa walaupun Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat sedang dilaksanakan.

“Harus ada pertumbuhan suku tahunan sebanyak dua digit yang menunjukkan pemulihan ekonomi semakin kukuh. Maka pertumbuhan tahun ke tahun untuk tahun penuh akan berada dalam satu digit,” katanya.

Bagi suku keempat, beliau yakin keadaan ekonomi tidak akan seburuk awal tahun ini, kerana tidak nampak tanda gelombang pengangguran dan penutupan perniagaan dari Oktober hingga November.

“Apa yang anda lihat ialah dari bulan Jun hingga September, banyak orang telah kembali bekerja.”

Namun, beliau turut  menjangkakan suku keempat tahun ini akan lebih lemah daripada pertumbuhan KDNK suku ketiga kerana lantunan ekonomi daripada pertumbuhan negatif pada suku sebelumnya.

Ahli ekonomi kanan, Hoo Kee Ping, sebaliknya, percaya bahawa akan ada pertumbuhan yang kukuh pada suku keempat ketika ekonomi global pulih dari kemerosotan dua suku berturut-turut akibat wabak tersebut.

Walau bagaimanapun, kunci pemulihan ekonomi juga bergantung pada penemuan vaksin yang akan menjadi penawar jangkitan Covid-19.

Kebanyakan ekonomi di dunia menumpukan ujian vaksin Covid-19.

Penutupan sempadan dan sekatan perjalanan hanya boleh dibuka semula setelah vaksin ditemui dan wabak dapat dikendalikan, katanya.

“Ini semua bergantung (pembangunan) vaksin. Ekonomi tidak akan mengalami Kemelesetan Besar. Dua suku tahun kemelesetan sudah berakhir,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa industri seperti pelancongan yang masih kelihatan kurang lancar, dan industri runcit hanya akan pulih selepas Mac 2021. – 28 September, 2020.

Berita penuh di sini.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen