482 orang langgar SOP di pub, kelab malam ditahan


Ravin Palanisamy

523 ditahan semalam di seluruh negara kerana langgar SOP PKPP, 482 berkaitan dengan pub dan kelab malam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2020.

POLIS menahan 523 orang kerana pelbagai kesalahan pematuhan SOP perintah kawalan pergeraka pemulihan termasuklah 356 orang di pub dan kelab malam, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, daripada 523 yang ditahan, 482 dikompaun dan 40 orang lagi direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti dalam pub dan kelab malam (356), penjarakan fizikal (105), tidak memakai pelitup muka (38), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (20), dan tangkapan pendatang asing tanpa izin (4),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pasukan polis yang mengetuai operasi penguatkuasaan SOP PKPP juga melakukan 45,847 pemeriksaan semalam melibatkan 11,244 anggota.

Selain itu, kata Ismail, pihak berkuasa mengadakan 98 sekatan jalan raya di seluruh negara dan berjaya menahan 75 pendatang asing tanpa izin.

Tambahnya, pihak berkuasa akan terus bertindak tegas ke atas mana-mana pihak yang cuba memasuki negara secara haram dan kawalan sempadan akan terus diperketatkan terutama sekali di jalan tikus. – 27 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen