Pemimpin GRS dalam perjalanan jumpa TYT


Sheridan Mahavera

Kami serah kepada TYT untuk putuskan ketua menteri, kata Bung Moktar Radin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 27 September, 2020.

PEMIMPIN Gabungan Rakyat Sabah sudah keluar meninggalkan hotel Sutera Harbour dan dalam perjalanan berjumpa Yang Di-Pertua Juhar Mahiruddin.

“Kami akan serah kepada TYT untuk putuskan,” kata Pengerusi Perhubungan Umno Sabah Bung Moktar Radin kepada wartawan yang berkumpul di perkarangan hotel sejak 9 pagi tadi.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu bagaimanapun enggan mendedahkan calon ketua menteri Sabah dicadangkan GRS.

Awal hari ini, semua pemimpin kanan parti yang membentuk GRS dan 41 wakil rakyatnya bertemu dipercayai untuk perbincangan calon ketua menteri.

Setiausaha Agung Barisan Nasional Annuar Musa menulis di Twitter bahawa GRS akan menghadap Yang Di- Pertua Sabah Juhar Mahiruddin hari ini.

Beliau juga mendedahkan GRS – yang disebutnya sebagai GRS Plus – kini mempunyai 41 kerusi, dipercayai tambahan tiga kerusi yang dimenangi calon Bebas di Kuamut, Kemabong dan Pitas.

“Semua 41 Adun GRS Plus bertemu mesra buat pertama kali hari ini. Ketua- ketua parti Umno, Bersatu dan PBS akan mengadap TYT hari ini juga, Insyaallah,” tulis setiausaha agung Barisan Nasional itu pada jam 12.15 tengahari tadi.

Mesyuarat itu disertai Setiausaha Agung Perikatan Hamzah Zainuddin, Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob dan Mahdzir Khalid, dan Presiden Star Jeffrey Kitingan.

Selain Bung, Pengerusi Bersatu Sabah Hajiji Noor, yang juga dicalonkan sebagai ketua menteri, juga hadir.

Pada pilihan raya semalam, GRS menang di 38 kerusi, terdiri daripada 17 (Perikatan Nasional), 14 (BN) dan 7 PBS.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, Warisan Sabah menang kerusi terbanyak dengan 29 kerusi, diikuti PN (17), BN (14), PBS (7), Bebas (3), PKR (2) dan Upko (1). Semua kerusi BN dimenangi Umno.

Terdapat 73 kerusi dalam DUN Sabah. – 27 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen