Umno boleh pilih antara Bersatu atau Warisan, kata penganalisis


Chan Kok Leong

Umno kini boleh memilih Bersatu atau Warisan di Sabah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2020.

PILIHAN Raya Negeri Sabah meletakkan Umno di persimpangan jalan politik apabila ia terpaksa memilih antara dua parti serpihan, kata penganalisis politik Prof Wong Chin Huat.

“Umno sekarang boleh mendukung sama ada Parti Warisan Sabah atau Bersatu untuk membentuk kerajaan negeri,” katanya.

Namun antara dua pilihan itu, Warisan adalah pilihan yang lebih selamat untuk Umno, tambahnya.

Walaupun Bersatu dan Warisan adalah serpihan Umno, parti pimpinan Mohd Shafie Apdal di Sabah adalah sebuah parti pelbagai kaum manakala parti pimpinan Munyiddin Yassin yang bertapak di negeri itu sebuah parti Melayu.

Bersatu akan meluaskan pengaruh dalam kalangan pengundi Melayu kerana ia parti perdana menteri, kata Wong, yang malah percaya ia akan menarik lebih ramai pemimpin Umno menyertainya.

“Setakat ini, calon Bersatu untuk jawatan ketua menteri Sabah iaitu Hajiji Noor adalah bekas pemimpin Umno,” katanya, yang pakar demokrasi berpelembagaan. 

“Kalau Umno sekali lagi melepaskan Sabah, maknanya ia jadi pendukung kepada parti serpihan yang lebih kecil daripadanya. Buat masa ini, Umno sudah membenarkan Bersatu memegang jawatan perdana menteri di Putrajaya.”

Putrajaya pada masa ini diterajui oleh Bersatu yang mempunyai 31 ahli Parlimen berbanding Umno yang ada 39 ahli Parlimen.

Kerajaan Perikatan Nasional dibentuk pada hujung Februari lalu selepas Barisan Nasional, PAS, serta Gabungan Parti Sarawak dan beberapa ahli parlimen bebas sepakat menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Umno pada masa ini bersaing dengan Bersatu dalam menamakan calon ketua menteri Sabah. Umno mencadangkan ketua parti negeri Bung Moktar Radin sementara Bersatu menamakan Hajiji.

Umno dan Barisan Nasional boleh memilih untuk bekerjasama dengan Warisan diterajui Mohd Shafie Apdal selagi mana ia tidak melibatkan sebarang parti Pakatan Harapan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 27 September, 2020.

Pemimpin kedua-dua parti itu kini menyambung rundingan di sebuah hotel di Kota Kinabalu selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam tadi mengesahkan parti-parti yang menang pilihan raya negeri Sabah.

Warisan menang 29 kerusi diikuti PN 17, BN 14, dan PBS 7. Tiga calon bebas juga menang manakala PKR menang 2 kerusi dan Upko 1.

Semua kerusi yang dimenangi oleh BN diwakili oleh Umno.

Pada hari penamaan calon, Muhyiddin mengumumkan PN, BN dan PBS bekerjasama sebagai Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang bagaimanapun tidak berdaftar sebagai pertubuhan politik.

PN terdiri daripada Bersatu, Star, PAS, dan SAPP dan disokong oleh PBS.

BN bagaimanapun tidak menyertai gabungan baharu ini, yang sudah didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan pada awal Ogos.

PN dipercayai mendapat dukungan PBS, yang menang tujuh kerusi, untuk Hajiji sebagai ketua menteri.

Pilihan BN

BN tidak perlu menyokong GRS sekiranya pakatan itu bersungguh menamakan calon Bersatu sebagai ketua menteri, kata seorang sumber pimpinan kanan Umno kepada The Malaysian Insight.

“Tidak seperti BN, GRS bukan sebuah gabungan rasmi. Umno tidak perlu pun sokong sekiranya tuntutan Umno tidak dipenuhi.

“BN boleh pilih jadi pembangkang di Sabah dengan tidak menyokong mana-mana parti atau calon ketua menteri. Ini bukan penamat bagi BN,” katanya.

“Lagi pun BN boleh menyokong Shafie jadi ketua menteri selagi beliau tidak bersama DAP, PKR, Pejuang, Upko atau mana-mana parti Pakatan Harapan,” tambahnya.

Perikatan Nasional diterajui Bersatu kini perlu memastikan Gabungan Rakyat Sabah tidak terpecah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2020.

Pemimpin Umno itu berkata sekiranya isu ketua menteri Sabah tidak diselesaikan segera, Warisan akan menghadap Yang di-Pertua Negeri untuk jadi ketua menteri sekali lagi.

“Satu lagi pilihan ialah untuk BN setuju dengan sistem penggiliran ketua menteri dengan Perikatan,” tambahnya.

Sabah pernah mengamalkan sistem penggiliran ketua menteri antara 1994 dan 2003, selepas BN berjaya membentuk kerajaan melalui percaturan politik yang menjatuhkan PBS yang menang pilihan raya. – 27 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen