Nasib tukang gunting rambut


Zainal Rashid Ahmad

POLITIK tidak akan pernah berhenti kitarannya. Selalunya seperti bala “kepala air” yang melanda hilir sungai dan mampu “membunuh” rakyat secara mengejut.

Pada masa ini, kisah rakyat yang menderita akibat gangguan ekonomi berikutan pandemik Covid-19 menjadi berita “kelas dua”. Media massa lebih cenderung dikuasai “gegar gempita” cerita politik.

Kluster Covid-19 pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kelihatan hampir pasti berlaku.

Berdasarkan trend peningkatan mendadak angka jangkitan wabak ini sepanjang tempoh berkempen – Sabah kini dalam bahaya.

Kerajaan baharu pasti berdepan beban berat menangani kluster pasca PRN. Angka jangkitan meluas akan ketara minggu ini.

Bukan mustahil sekiranya Sabah berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperketat.

Dengan angka jangkitan dua digit antara 20 kes hingga 97 kes sehari sepanjang minggu kempen, Sabah kini pusat jangkitan utama di Malaysia.

Itu harga yang perlu dibayar apabila “ketamakan kuasa politik” memusnahkan keselamatan kesihatan rakyat.

Kisah rakyat susah versi Cheras

Bro Azmi sudah empat tahun bekerja sebagai “barber” di premis gunting rambut ala hipster yang popular di Bandar Sri Permaisuri. Istilah popular dirujuk sebelum Covid-19 melanda.

“Selama dua tahun berniaga, kami ada lapan tukang gunting dan menerima antara 60 hingga 80 pelanggan sehari,” katanya.

Angka itu boleh meningkat kepada 100 orang pada hujung minggu.

Itu dulu. Sebelum Covid-19 melanda dan sebelum PKP dilaksanakan mulai 18 Mac hingga 10 Jun lalu.

“Kami hilang arah apabila tidak beroperasi selama empat bulan dan sekarang hanya tiga tukang gunting yang masih berkerja,” kata Bro Azmi.

Pada 18 Mac hingga 9 Jun, premis gunting rambut diarah tutup. Lapan tukang gunting di premis Bro Azmi hilang punca pendapatan.

“Tiga bulan tidak berkerja dan bos pula pening kepala tanggung bebanan sewa dan kos selenggara premis,” katanya.

Setelah empat bulan dibuka bermula 11 Jun, premis gunting rambut di Dwi Tasik ini kehilangan antara 40% hingga 60% pelanggan.

Kenaikan kos RM5 ringgit bagi memenuhi tuntunan penggunaan baju plastik pakai buang bagi memenuhi arahan Standard Pematuhan Operasi (SOP) menyebabkan pelanggan menjauhi kedai gunting.

“Pelajar sekolah belajar gunting rambut di Youtube dan saling menggunting rambut sesama sendiri,” kata Bro Azmi.

Menurutnya, pelajar enggan ke kedai gunting apabila harga meningkat RM5 menjadikan mereka ralat membayar RM20 sekali gunting.

“Mereka berkongsi wang membeli mesin gunting dan belajar asas gunting rambut di Youtube,” katanya.

Menurut Bro Azmi, premis gunting kehilangan 60% pelanggan dalam kalangan pelajar.

“Kami juga kehilangan 40% pelanggan dewasa kerana tambahan RM5 menjadikan bayaran RM25 sekali gunting terasa sangat mahal,” katanya.

Kesan kekurangan pelanggan menyebabkan lima tukang gunting hilang kerja.

“Sekarang hanya tinggal kami bertiga dan kedai ini hanya menerima antara 20 ke 25 pelanggan sehari,” katanya.

Pada hujung minggu pula, keadaan lengang tanpa pelajar sekolah sebagai pelanggan.

Jumlah pelanggan yang merosot pada purata 50% berbanding sebelum PKP menjadikan operasi perniagaan kedai gunting terjejas teruk.

“Lima orang terpaksa berhenti dan sekarang pun, kami lebih banyak termenung pada hujung minggu kerana tiada pelanggan,” kata Bro Azmi.

Saya bertanyakan soal promosi yang patut dilakukan untuk menarik pelanggan ke kedai gunting.

Bro Azmi menjawab mudah: “Bukan isu promosi. Ia isu harga. Ambil kiraan mudah, apabila seorang bapa dan dua anak lelakinya tidak membayar kos gunting rambut, mereka jimat RM65 sebulan,” katanya.

Menurut Bro Azmi, masyarakat mula berjimat cermat dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang. Kesannya terhadap kedai gunting akan lebih teruk mulai Oktober.

“Apabila moratorium bank ditarik balik dan peminjam kembali membayar hutang bank mulai Oktober, kami akan kehilangan lebih ramai pelanggan,” kata Bro Azmi.

Saya mendengar sambil ketik gunting berbunyi.

Suasana sunyi kerana saya satu-satunya pelanggan pada petang Sabtu. – 27 September, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen