Shafie Apdal masih calon PM, kata Dr Mahathir


Zaim Ibrahim

Dr Mahathir Mohamad kecewa kerana Mohd Shafie Apdal kalah PRN untuk menghalang perubahan kerajaan melalui tindakan mengupah wakil rakyat untuk lompat parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2020.

PRESIDEN Warisan Mohd Shafie Apdal masih calon perdana menteri blok pembangkang walaupun gagal mempertahankan kerajaannya dalam pilihan raya Sabah, kata Dr Mahathir Mohamad.

Pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, ahli Parlimen Semporna itu tetap akan dinamakan sebagai calon perdana menteri sekiranya mereka menang Pilihan Raya Umum ke-15.

“(Shafie Apdal) masih salah satu daripada calon (perdana menteri),” kata beliau ketika ditemui The Malaysian Insight di Langkawi.

Ketika mengulas keputusan pilihan raya negeri yang berlangsung semalam, Dr Mahathir turut kecewa kerana parti Warisan dan sekutunya tewas kepada parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Katanya, beliau kecewa kerana Shafie tetap kalah dalam pilihan raya yang diadakan untuk menghalang kerajaan bertukar selepas sekumpulan wakil rakyat berpaling tadah.

“Saya kecewalah. Saya harap rakyat Sabah menolak orang yang guna cara tidak betul untuk ambil alih kerajaan kerana mereka sengaja meruntuhkan kerajaan dengan upah kepada orang yang lompat (parti).

“Kalau ini jadi satu amalan kita di Malaysia… Tamatlah demokrasi.

“Siapa saja ada duit boleh beli mana-mana kerajaan, sama ada kerajaan pusat pun macam itu, di Sabah pun macam itu,” katanya.

Beliau bagaimanapun berharap ketidaktentuan politik di Sabah akan reda dengan keputusan pilihan raya negeri semalam.

“Saya ucap tahniah kepada mereka yang menang. Saya harap dengan ini keadaan di Sabah stabil tidak ada percubaan untuk rampas kerajaan,” katanya.

Warisan Plus yang diterajui Mohd Shafie Apdal tewas pada Pilihan Raya Negeri Sabah semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 27 September, 2020.

Nama Shafie muncul sebagai calon perdana menteri pada Julai lalu sewaktu Warisan dan sekutunya Pakatan Harapan (PH) bermesyuarat mengenai isu di antara Dr Mahathir dan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Ia untuk meleraikan kebuntuan apabila Dr Mahathir bergeser untuk kesekian kalinya dengan Anwar berhubung calon perdana menteri blok pembangkang itu.

Shafie pada waktu itu mendedahkan namanya dicalonkan untuk menjadi perdana menteri oleh DAP.

Anwar pula pada Rabu lalu membuat pengumuman mengejut yang mendakwa mendapat sokongan majoriti meyakinkan dari ahli Parlimen untuk mengambil alih kerajaan.

Pengumuman itu dibuat di kemuncak kempen Pilihan Raya negeri Sabah, yang turut disertai PKR dengan bertanding menggunakan lambang sendiri. Pengumuman Anwar untuk mengambil alih kerajaan itu mendapat sokongan padu PKR dan Amanah, dan secara bersyarat oleh DAP.

DAP menegaskan parti itu hanya akan menyokong sekiranya Anwar memperolehi majoriti.

Parti Umno pula mengesahkan sebilangan ahli Parlimen parti itu tidak lagi menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang memberi gambaran Anwar benar-benar mendapat majoriti.

Dr Mahathir melalui parti Pejuang yang baharu ditubuhkan pula menyatakan beliau tidak menyokong Anwar kerana presiden PKR itu menolak sokongan dari partinya.

Beliau yang menjadi perdana menteri kerajaan PH selama kira-kira sembilan bulan sebelum meletak jawatan Februari lalu juga sangsi dengan jumlah sokongan tersebut.

Dr Mahathir berkata, Anwar perlu membuktikan beliau benar-benar mendapat sokongan majoriti.

Isu mengenai calon perdana menteri dari blok PH bersama Warisan itu berlarutan sejak Anwar dibebaskan dari tahanan selepas parti berkenaan menang pilihan raya umum 2018.

Sepanjang tempoh itu, penyokong kuat Anwar menggiatkan tekanan agar Dr Mahathir menyerahkan jawatan perdana menteri kepada ahli Parlimen Port Dickson itu.

Dr Mahathir meletak jawatan pada Februari lalu apabila Bersatu keluar dari PH bersama sekumpulan ahli Parlimen PKR dipimpin timbalan presiden parti waktu itu, Azmin Ali.

Bersatu dan kumpulan berkenaan seterusnya membentuk kerajaan baharu Perikatan Nasional dengan Umno, PAS dan GPS.

Sekutu Perikatan Nasional, Gabungan Rakyat Sabah menang pilihan raya negeri yang diadakan semalam dengan memperohi majoriti mudah 38 kerusi. Warisan menang 23 daripada 73 kerusi. – 27 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen