Pakar ekonomi sokong perkenal GST semula tetapi bukan sekarang


Bernard Saw

GST hanya boleh dilaksanakan apabila ekonomi negara berada dalam keadaan stabil selepas terjejas akibat pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2020.

WALAUPUN pengenalan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) adalah idea yang baik untuk meningkatkan ekonomi negara, tetapi sekarang bukan masanya, kata para ahli ekonomi dan syarikat percukaian.

Mereka berkata GST, yang dihapuskan pada 2018 selepas Pakatan Harapan (PH) berkuasa, perlu diperkenalkan semula apabila ekonomi berada di landasan yang stabil selepas terjejas oleh wabak Covid-19.

Mereka mendesak kerajaan agar tidak terburu-buru membawa kembali skim cukai ini, malah tahun depan juga dirasakan masih terlalu awal.

Profesor Universiti Tunku Abdul Rahman Prof Wong Chin-Yoong berkata, kerajaan mesti mengambil kira kekuatan pemulihan ekonomi jika ingin melaksanakan rejim cukai itu tahun depan.

“Jika pemulihan ekonomi negara kita tidak sekukuh yang diharapkan, tahun depan bukan masa yang tepat untuk melaksanakan GST, kerana ini boleh menjejaskan momentum pemulihan ekonomi,” kata pensyarah ekonomi itu kepada The Malaysian Insight.

Beliau menjadikan Jepun sebagai contoh, negara itu menaikkan kadar cukai penggunanya pada tahun 1990-an dan 2000-an ketika ekonomi sedang berada dalam tahap pemulihan.
Bagaimanapun, tindakan itu memperlahankan proses pemulihan.

“Ini adalah faktor yang harus dipertimbangkan. Walaupun saya fikir GST adalah sistem cukai yang baik, tempoh memperkenalkannya juga sangat penting,” tambahnya.

Pakar ekonomi kanan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi, Adli Amirullah berkata GST tidak boleh dilaksanakan dalam beberapa tahun akan datang kerana tumpuan harus diberikan kepada pemulihan ekonomi.

“Saya rasa ini bukan masa yang baik. Bahkan tahun depan, ia bukan masa yang sesuai,” katanya.

“Jika anda bertanya kepada saya, sebagai ahli ekonomi, saya tentunya lebih suka GST. Tetapi jika anda bertanya kepada saya adakah tahun depan masa yang tepat untuk melaksanakan GST, jawapannya, tidak.

“Kerana tahun ini, tahun depan, dan bahkan dua tahun akan datang, kita memerlukan lebih banyak rancangan pemulihan untuk membantu ekonomi pulih selepas dilanda wabak,” tambahnya.
Beliau percaya Malaysia mungkin menghadapi masalah dengan penyelarasan sistem cukai, seperti yang berlaku pada masa lalu, jika GST dilaksanakan semula tahun depan.

Ia memerlukan waktu bagi menyelesaikan masalah tersebut dan kerajaan mungkin akan kehilangan fokus untuk memacu ekonomi, tambahnya. – 27 September, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen