Sah, GRS menang di Sabah


The Malaysian Insight

Pemimpin Perikatan Nasional meraikan kemenangan mereka dalam PRN Sabah hari ini. – 26 September, 2020.

GABUNGAN Rakyat Sabah menang 38 kerusi dalam pilihan raya negeri Sabah, sekaligus melepasi jumlah kerusi majoriti mudah yang diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu menggantikan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh dalam sidang media menjelang tengah malam mengisytiharkan parti-parti yang bersama dalam GRS menang 38 kerusi yang telah disahkan keputusannya.

Warisan dan sekutunya yang bersama atas nama Warisan Plus hanya memperoleh 29 kerusi sementara PKR menang 2 dan Upko satu kerusi. Tiga kerusi lagi dimenangi calon bebas.

Abdul Ghani bagaimanapun tidak mengisytiharkan GRS sebagai pemenang kerana ia bukan sebuah pakatan yang rasmi dan berdaftar dengan badan pilihan raya itu.

GRS terdiri daripada Perikatan Nasional yang menang 17 kerusi, Barisan Nasional (14) dan Parti Bersatu Sabah (7).

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang juga pengerusi PN, lewat malam ini menzahirkan rasa gembira dan syukur atas kemenangan GRS.

“Kemenangan ini menunjukkan keyakinan rakyat kepada parti-parti dalam GRS yang terdiri daripada Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah,” katanya.

Tambah Muhyiddin, GRS akan berusaha sedaya upaya menunaikan segala janji pilihan raya.

Dalam pada itu, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang memilih calon GRS serta kepada petugas dan sukarelawan yang berkempen memenangkan calon mereka.

Dalam satu ucapan semasa kempen, Muhyiddin berkata pilihan raya umum akan diadakan lebih awal sekiranya keputusan pilihan raya negeri Sabah memihak kepada GRS.  – 26 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen