Belum ada pemenang sah di Sabah


The Malaysian Insight

Di pihak Perikatan Nasional, kemenangan telah diraikan beberapa pemimpinnya namun keputusan rasmi masih belum diumum secara rasmi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 September, 2020.

MASIH belum ada parti yang menang secara sah pilihan raya negeri Sabah walaupun Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah lebih awal mengisytiharkan dirinya mempunyai jumlah kerusi yang cukup sekurang-kurangnya 37 untuk membentuk kerajaan.

Sehingga pukul 11 malam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan Parti Warisan Sabah (Warisan) menang 23 kerusi sementara sekutunya Upko dan PKR menang masing-masing satu kerusi. Ini menjadikan gabungan Warisan Plus mempunyai 25 kerusi.

GRS yang disertai oleh Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) pula mempunyai 24 kerusi. PN menang 13 kerusi sementara BN 6 dan PBS 5.

Dua calon bebas juga disahkan menang.

SPR belum mengumumkan keputusan rasmi di 22 kerusi.

SPR sebelum ini mengesahkan Sekong yang awalnya didakwa dimenangi oleh GRS sebenarnya dimenangi oleh Warisan.

Beberapa kerusi lain juga yang diumumkan dimenangi tidak rasmi oleh GRS masih dipertikaikan setakat berita ini ditulis, antaranya Pintasan, Tanjung Keramat dan Inanam.

PKR dan PBS masing-maisng mendakwa menang di Inanam manakala Amanah dan BN mendakwa menang di Tanjung Keramat.

Perikatan juga mendakwa menang di Pintasan, kerusi yang awalnya dikatakan dimenangi oleh presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) Pandikar Amin Mulia.

Sementara itu beberapa pemimpin Warisan Plus antaranya Janine Lasimbang (DAP) dan Christina Liew (PKR) dilihat berada di kediaman Mohd Shafie Apdal di Kota Kinabalu.

Pengasas Ikatan Demokratik Malayia (Muda) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan presiden pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Mukhriz Mahathir juga ada di sana.

Lebih kurang 200 penyokong Warisan juga mula berhimpun di kediaman itu.

Shafie dijadual mengadakan sidang media pada 9 malam namun sehingga berita ditulis belum juga berjumpa dengan wartawan.

Pemimpin Warisan dilaporkan berkata pihaknya menunggu keputusan rasmi SPR terlebih dahulu. β€“ 26 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen