Jalan baharu Pejuang (bahagian 1)


“Life’s not about how you can hit… it’s about how hard you can get hit, and still keep moving forward.” – Rocky Balboa.

UNGKAPAN seperti “parti anak beranak”, “parti orang kalah”, “serpihan parti serpihan”, “parti lelaki Melayu tua”, “satu lagi parti Melayu”, “Pejuwang”, dan banyak lagi adalah antara nama yang disebut untuk mengolok-olok parti baharu yang diasaskan oleh perdana menteri dua kali Dr Mahathir Mohamad, yang sedang diuruskan pendaftarannya.

Selepas gagal mengemukakan parti Melayu alternatif Bersatu yang ditubuhkan pada 2016 (untuk menggantikan Umno “yang rosak teruk), Dr Mahathir mencuri perhatian semula dengan mengumumkan sebuah lagi parti lain – kali ini sebagai ganti kepada Umno dan Bersatu. 

Bagi Dr Mahathir, Bersatu sudah dirampas oleh perdana menteri sekarang Muhyiddin Yassin melalui “kerajaan pintu belakang” hasil Langkah Sheraton. Melainkan ia ditukar, kerajaan “scheme of things” ini akan selama-lamanya menjerat orang Melayu dan rakyat Malaysia dalam jerangkap politik wang dan tadbir urus yang buruk.

Dr Mahathir percaya harus ada usaha untuk menghentikan amalan rasuah politik – sesuatu yang sepatutnya berakhir apabila Pakatan Harapan jadi kerajaan (setelah ia mengalahkan Umno dan Barisan Nasional).

Impian itu bagaimanapun diruntuhkan dengan Langkah Sheraton.  Langkah Sheraton yang licik mengembalikan cara lama yang mudarat. 

Bersatu dimakan oleh DNA Umno dan kembali ke akar Umno-nya. Malah, ia menjadi Umno semula walaupun dengan nama yang lain. Muhyiddin juga mengaku kalah dan kembali bersama Najib dan sekutunya dalam Umno.

Bagaimanapun persoalan utamanya: bagaimana Dr Mahathir akan memastikan parti baharu (yang masih belum berdaftar) tidak mengulangi kesilapan Umno, dan terutamanya Bersatu?

Kalau ada penganalisis politik yang cuba membedah kegagalan utama Bersatu, mereka akan berjumpa beberapa punca utama yang menyebabkan ia pecah dan kembali ke asal usulnya Umno.

Raison d’être atau sebab wujud Bersatu – selain komitmen pada moto Bersatu, Beramanah dan Berintegriti – ialah akarnya pada dogma Umno iaitu “pemusatan kuasa” elit Melayu melalui politik naungan (political patronage).

Secara semula jadinya ini menyebabkan bekas pemimpin Umno dikitar semula, yang walaupun tidak bersetuju dengan Najib, mereka masih juga membawa semangat elitisme dan naungan. Kebanyakan ketua bahagian dan orang perniagaan yang oportunis dalam Bersatu kemudian menyibukkan diri dengan memohon peruntukan diberikan ke bahagian mereka, dan kontrak diberikan oleh Bersatu kepada mereka untuk “mengukuhkan” parti dan akar umbi. 

Kata mereka, tanpa dana, akar umbi terutamanya ketua bahagian akan tercekik. Cerita ini tidak ada banyak bezanya dengan apa yang berlaku pada masa Umno berkuasa.

Selain itu, struktur organisasi Bersatu – yang ditunjukkan dalam perlembagaannya – adalah cerminan daripada Umno. Kuasanya ditompokkan dalam kalangan ketua bahagian, yang mempunyai kuasa untuk memilih pemimpin di peringkat pusat. 

Politik naungan elit ini terus subur, ironinya, dalam Bersatu – parti yang diharapkan akan menggantikan Umno. Ini tentunya dipupuk dengan politik wang yang merosakkan politik Melayu. Lebih teruk lagi, kebanyakan ketua bahagian dan pimpinan pusat Bersatu adalah bekas ahli Umno.

Dengan resipi merosakkan seperti ini, jalan kembali kepada cara lama Umno tidak dapat dielakkan lagi. Ini jelas ditunjukkan oleh pemimpin Bersatu yang kini dalam Perikatan Nasional dan juga Muafakat Nasional.

Apakah yang perlu Pejuang lakukan untuk mengelak daripada hal ini berulang?

Apakah yang mesti Dr Mahathir dan pengasas parti yang lain lakukan bagi merintis jalan yang betul untuk parti yang baharu ini?

Apakah pelan pengurusan risiko bagi memastikan Pejuang tidak jadi Umno 3.0 atau Bersatu 2.0?

Perubahan radikal

Pertama, Pejuang perlu melakukan anjakan paradigma yang radikal dalam politik Melayu. Politik berasaskan naungan elit yang lama diamalkan oleh Umno (dan kemudian diteruskan oleh Bersatu) mesti digantikan dengan politik berasaskan khidmat. Paradigma baharu ini mesti diperjelaskan kepada orang Melayu (memandangkan Pejuang ialah parti Melayu untuk membantu orang Melayu) bahawa politik bukan tempat untuk mereka membuat kekayaan, sebaliknya ruang untuk berkhidmat kepada rakyat, sama ada berkuasa atau tidak.

Selama lebih 60 tahun, orang Melayu sudah terbiasa dengan politik berasaskan kuasa Umno. Pemikiran ini kembali unggul, gara-gara Muhyiddin. Psiki politik Melayu kembali diasuh bahawa mereka mesti bergantung pada yang berkuasa.

Mereka yang berkuasa pula percaya bahawa mereka adalah tuan tempat rakyat bergantung untuk hidup. Dalam paradigma ini tidak wujud pemikiran bahawa politik adalah wadah untuk wakil rakyat membantu kebajikan dan kepentingan rakyat, setidak-tidaknya begitulah seperti yang ternampak. Perasaan bahawa ahli politik adalah hamba rakyat tidak muncul. 

Ini melahirkan sikap sombong yang ternampak pada pemimpin Umno, Bersatu, dan sejak akhir-akhir ini malah pada pemimpin PAS. Elitisme dan kuasa ke atas rakyat membutakan mereka daripada konsep pemimpin dalam Islam iaitu menjadi hamba kepada rakyat.

Ini yang ruang yang harus diisi oleh Pejuang. Sekiranya Pejuang terus menyuburkan politik naungan elit Melayu, ia hanya menempa nasibnya sendiri untuk gagal dan hancur.

Tetapi bagaimanapun Pejuang boleh menerapkan “politik khidmat” sebagai nilai asasnya?

Pejuang mesti disertai oleh wakil Melayu dari pelbagai segmen – yang merentas spektrum sosio-ekonomi dan mengatasi politik kepartaian yang remeh temeh. Mengitar semula pimpinan Umno dan Bersatu bukan jawapannya dan tidak juga akan membawa Pejuang ke mana. Malah ia hanya menyebabkan Pejuang mengulangi kesilapan Umno dan Bersatu.

Pejuang mesti diwakili oleh pemimpin badan masyarakat (NGO), aktivis, influencer, intelek, pemimpin korporat, wakil perniagaan kecil, profesional, pendidik, artis, ahli sukan, wakil kesatuan, aktivis pekerja Melayu, dan melampaui status quo politik lama.

Pemimpin yang dipilih mestilah mereka yang sudah berkhidmat untuk rakyat walaupun tanpa parti. Penglibatan mereka dalam parti bukanlah untuk kedudukan dan kepentingan peribadi. Penglibatan mereka mestilah digerakkan atas keinginan mengukuhkan khidmat dan mengembangkan cita-cita mereka. 

Mereka tidak harus menyertai parti dengan tuntutan kepentingan peribadi. Mereka sepatutnya menyertai parti untuk mengukuhkan parti dengan apa yang sedang mereka lakukan. Mereka tidak akan rugi apa-apa tanpa parti tetapi mereka akan terus menyumbang dengan bermakna dengan bersama parti.

Persoalannya, adalah itu munasabah?

Saya dengan tegasnya akan berkata: Ya, boleh!

Anjakan paradigma dalam politik Melayu sangat diperlukan dan Pejuang adalah papan lonjak untuk perubahan itu.

Daripada merungut dan mengeluh akan kekecewaan dan tidak puas hati terhadap ahli politik, orang Melayu harus bertindak sekarang atas kesedaran masanya sudah tidak untuk mencetuskan perubahan yang bermakna dengan menjadi ahli dan pemimpin Pejuang.

Ini masanya untuk bertanggungjawab atas masa depan kita.

Politik Melayu sangat memerlukan perubahan – perubahan yang akan memberi kesan positif kepada seluruh landskap politik tanah air.

Jika Perikatan Nasional terus membentuk politik Melayu, negara ini akan terus subur dengan politik wang, rasuah dan kleptokrasi. Dan ini, sesungguhnya, sangat mendukacitakan.

Nafas baru

Pada masa sama, Pejuang mesti membawa angin segar yang sangat diharapkan ke dalam politik Melayu, dengan pendekatan yang baru dan inovatif.

Pejuang harus mengemukakan dirinya sebagai sebuah parti aktivis. Ia mesti menjadi sebuah parti yang berkhidmat kepada rakyat, dan bukan sebaliknya. Pejuang mesti menjauhkan diri daripada elit yang merasakan mereka lebih tahu daripada rakyat. 

Pejuang juga tidak boleh disertai oleh mereka yang raison d’être-nya dalam politik ialah untuk menjarah wang rakyat melalui kedudukan dan kontrak kerajaan. Ia sebaliknya mesti terdiri daripada mereka yang sedia untuk berjuang demi rakyat, terutama mereka yang sudah sedia membantu golongan Melayu yang miskin dan tidak bernasib baik dalam apa juga kedudukan mereka sekarang. 

Pejuang mesti bersikap memilih dalam menerima mereka yang akan menerajui parti – walaupun pada peringkat seawal ini. Parti ini mesti mengatur mekanisme khas yang akan menyingkirkan mereka yang tidak berkenaan daripada menyertai struktur parti

Pejuang mesti menggunakan proses penapisan yang ketat bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak dan teruji akan mendaki takah kepimpinan.

Selain itu, pemimpin Pejuang mesti mewakili kepelbagaian masing-masing untuk berkhidmat kepada segenap segmen masyarakat. Wacana politik parti tidak harus berkisar hanya tentang pemilihan parti – kehendak menjadi ketua bahagian atau ahli jawatan kuasa pusat. 

Sebaliknya, wacana politik Pejuang harus bertumpu pada penyelesaian sebenar untuk rakyat – penyelesaian sebenar kepada permasalahan sebenar orang Melayu.

Ahli dan pemimpin harus menjadi petugas dan aktivis parti yang sedia menyingsing lengan dan mengotorkan tangan demi manfaat rakyat. Mereka harus menjadi orang yang bersungguh-sungguh memaju, mengetengah dan mengemukakan dasar yang memberi kesan signifikan kepada rakyat, terutamanya golongan yang tidak bernasib baik.

Mereka mesti menjadi wakil yang aktif di Parlimen, di dewan undangan negeri, di media dan semua saluran yang ada untuk menjuarai kepentingan rakyat.

Ahli jawatankuasa pusat Pejuang mesti bersungguh-sungguh memainkan peranan sebagai kabinet bayangan. Setiap pemimpin Pejuang akan memantau semua kementerian bagi memastikan adanya tadbir urus yang baik, serta membantu merangka dasar yang terbaik demi rakyat.

Tidak kurang pentingnya, Pejuang mesti tegas mematuhi setiap prinsip asas penubuhannya: menggalakkan politik bersih dan tidak bertolak ansur terhadap rasuah dan salah guna kuasa.

Pejuang mesti menjadi kuasa baharu yang memecahkan amalan lama dalam politik nasional, dan lebih penting lagi, dalam politik Melayu.

Peuang mesti menghentikan politik lama Melayu yang berasaskan naungan elit. Ia mesti merintis jalan baru menuju era politik Melayu yang progresif, yang berpaksi pada khidmat dan penyusunan dasar. Ringkasnya, Pejuang mesti menjadi harapan baharu bangsa, sebuah parti Melayu yang akan berjuang untuk masa depan yang lebih baik untuk negara dan rakyat.

Struktur Pejuang mesti tampil sama sekali berbeza daripada yang dipakai dalam Umno dan Bersatu. Seperti yang disebutkan pada awal tadi, politik naungan elit yang mencambahkan politik wang dalam masyarakat Melayu berpunca daripada struktur organisasi yang membenarkan pemusatan kuasa pada ketua bahagian (terutama mereka yang berkuasa ke atas ahli di akar umbi).

Bagi mencapai matlamat organisasinya, Pejuang perlu menggunapakai struktur organisasi yang bertentangan dengan bentuk dalam Umno dan Bersatu.

Satu-satunya perbezaan antara Umno dan Bersatu ialah Bersatu membenarkan wakil bahagian (bukan ketua bahagian seorang sahaja) untuk memilih ahli jawatankuasa pusat dan kepimpinan tertinggi. Bagaimanapun ketua bahagian kedua-dua parti tetap juga kuasa penentu struktur kuasa dan siapa yang menguasai parti.

Inilah yang membolehkan wang, kedudukan dan kontrak diagihkan kepada ketua bahagian. Inilah juga yang menentukan tokoh tertntu dipilih atau kekal memimpin. 

Wang juga digunakan oleh mereka untuk mendapatkan kedudukan, dengan harapan mereka terpilih sebagai calon pilihan raya, atau mendapat ganjaran daripada mereka yang bercita-cita menjadi pemimpin di peringkat pusat.

Inilah puncanya kenapa politik wang subur dalam Umno dan Bersatu. Ini terangkum dalam mantera Najib Razak yang terkenal “cash is king” atau wang adalah segala-galanya.

Untuk mengelak nasib sama seperti Bersatu dan Umno, Pejuang tidak harus mencontohi struktur organisasi yang sedemikian. Tidak harus ada bahagian dan oleh itu, tidak ada ketua bahagian yang akan menjadi “panglima” – kelompok pemegang kuasa yang menentukan hala tuju sebenar parti tanpa mengambil kira sejauh mana ia bertentangan dengan prinsip asas penubuhannya.

Akar umbi Pejuang di peringkat cawangan sebaliknya mesti melapor langsung kepada jawatankuasa negeri yang mereka pilih. Jawatankuasa negeri pula akan melaporkan kepada kepimpinan pusat yang dipilih berdasarkan kekuatan gerak kerja khidmat mereka. Seperti yang disebutkan pada awal tadi, jawatankuasa pusat mestilah terdiri daripada mereka yang mewakili kepelbagaian kelompok masyarakat. 

Hanya melalui anjakan paradigma baharu ini sahajalah Pejuang boleh keluar dari jurang politik wang dan politik naungan.

“No matter what he does, every person on earth plays a central role in the history of the world. And normally he doesn’t know it.” – Paulo Coelho. – 26 September, 2020.


* Maszlee Malik, Ahli Parlimen Simpang Renggam merangkap ahli jawatankuasa penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang)

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen