Ramai dijangkiti Covid-19 jika pilihan raya awal, kata Dr Mahathir


Zaim Ibrahim

Dr Mahathir Mohamad tidak bersetuju sekiranya pilihan raya umum diadakan lebih awal ketika wabak Covid-19 masih menular. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 26 September, 2020.

PILIHAN raya umum (PRU) tidak perlu diadakan dalam waktu terdekat kerana wabak Covid-19 dalam negara belum pulih, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Parlimen Langkawi itu bimbang kos pilihan raya akan meningkat dan ramai rakyat akan dijangkiti wabak itu.

“Seboleh-bolehnya (pilihan raya) diadakan dalam keadaan biasa. PRU bagi kuasa kepada rakyat tentukan kerajaan tetapi waktu ini negara hadapi masalah Covid 19.

“Masalah itu akan menyebabkan kos mengadakan PRU tinggi dan dedahkan rakyat kepada berkembangnya penyakit Covid-19.

“Saya yakin kalau PRU diadakan ramai yang dijangkiti Covid-19 dan meninggal dunia akibat ini. Soalnya sekarang sama ada kita nak utamakan politik atau nyawa rakyat,” katanya.

Beliau memberi contoh peningkatan kes di Sabah ketika kempen pilihan raya negeri dimulakan dua minggu lalu.

Jelasnya, tumpuan disebabkan pilihan raya negeri itu menyebabkan, orang ramai berkumpul dan menyebabkan wabak Covid-19 mudah merebak.

Oleh itu beliau berpendapat lebih baik jika majoriti sokongan ahli Dewan ditentukan dalam satu Sidang Dewan Rakyat.

“Kena ada persidangan Parlimen dan membuat undi tidak percaya terhadap Muhyiddin Yassin, kita tengok siapa menang.

“Kalau Anwar Ibrahim (presiden PKR) dapat buktikan Muhyiddin Yassin sudah tidak lagi menjadi kerajaan, maka Parlimen perlu tentukan calon-calon (perdana menteri) mereka,” katanya.

Jelasnya, Parlimen juga boleh menjalankan undian untuk menyokong mana-mana calon untuk dipilih menjadi perdana menteri.

“Siapa yang menang dapat majoriti dan boleh yakinkan Yang di-Pertuan Agong, orang tertentu ini dapat majoriti tanpa kira parti,” jelasnya.

Beliau ditanya pemberita mengenai kemungkinan pilihan raya awal dijalankan susulan dakwaan bahawa Presiden PKR Anwar Ibrahim menguasai majoriti untuk mengambil alih kerajaan.

Dalam pengumuman Rabu lalu Anwar tidak menyatakan dengan tepat jumlah ahli Parlimen yang kini menyokongnya namun memberi jaminan ia menyakinkan untuk membentuk kerajaan baharu.

Minggu lalu, Muhyiddin membayangkan pilihan raya umum akan diadakan lebih awal sebelum tamat penggal awal jika gabungan diterajuinya menang Pilihan Raya Negeri Sabah hari ini.

Ia menjawab gesaan daripada pemimpin Umno, termasuk Presidennya Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung Annuar Musa yang berpendapat lebih baik PRU diadakan dalam tempoh terdekat.  – 26 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen