Usia dekat 100 tahun, Dr Mahathir tak mahu bertanding lagi


Zaim Ibrahim

Saya sudah hendak masuk 100 tahun, kalau ada pilihan raya umum lagi, saya tidak bertanding, kata Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 September, 2020.

DR Mahathir Mohamad mengesahkan beliau tidak akan bertanding lagi dalam pilihan raya umum akan datang kerana faktor usianya yang kini mencecah 100 tahun.

Beliau bagaimanapun sedia berkhidmat untuk memberi nasihat kepada partinya, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sekiranya diperlukan, katanya.

“Kalau ada pilihan raya umum seperti dijadualkan iaitu tiga tahun lagi, saya pada masa itu umur 98 tahun, dekat 100 tahun dah.

“Tak payah dah (bertanding) pada masa itu, walaupun demikian kalau diminta saya tolong bagi nasihat… Bukan bayar duit, pengalaman saya saja.

“Saya bersedia memihak kepada parti saya,” kata ahli Parlimen Langkawi itu ketika ditemui pemberita sewaktu melawat kawasannya.

Beliau mengulas hasratnya untuk tidak bertanding lagi dalam Pilihan Raya Umum ke-15, dalam wawancara disiarkan Kyodo News.

Dalam wawancara itu, beliau menegaskan akan tetap bergiat melawan rasuah melalui Parti Pejuang.

Mahathir bersara daripada politik pada 2003 sebelum membuat kemunculan semula pada 2018, dengan menubuhkan parti Bersatu dan bersama gabungan Pakatan Harapan (PH).

Beliau seterusnya dilantik menjadi perdana menteri PH apabila gabungan itu berjaya memenangi Mei 2018, dan menjadi ketua kerajaan paling berusia di dunia.

Pada Februari 2020, Mahathir meletak jawatan apabila Bersatu keluar daripada PH, selain sejumlah ahli Parlimen PKR yang membentuk gabungan baharu dengan PAS, Umno dan GPS.

Dr Mahathir yang disingkirkan dari Bersatu bersama beberapa lagi ahli Parlimen kemudiannya menubuhkan Pejuang. – 26 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen