SOP solat jemaah di masjid, surau akan dikaji, kata menteri


Diyana Ibrahim

SOP solat jemaah akan dikaji semula, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Zulkifli Mohamad Al-Bakri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 26 September, 2020.

PIHAK berkuasa agama akan mengkaji semula garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) untuk masjid dan surau terutama larangan ke atas kanak-kanak di bawah umur 12 tahun, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Perkara itu akan diperhalusi dalam perbincangan dengan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan sebelum dibawa ke mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN), katanya.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan batas waktu bila keputusan itu akan dibuat.

“Nanti kita akan masukan dalam MKN. Saya lebih tertib dengan perbincangan melalui Majlis Fatwa Kebangsaan dan MKN untuk kita perhalusi,” katanya kepada wartawan di Kuala Lumpur.

Beliau ditemui selepas melancarkan projek Bakul Rezeki Khaira Pusat Pngutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan.

Zulkifli mengulas insiden seorang kanak-kanak lelaki dilarang bersembahyang di masjid oleh pihak pengurusan sebuah masjid, yang tular di Facebook sejak beberapa hari lalu.

Kanak-kanak itu didakwa terpaksa bersembahyang di kali lima berdekatan pintu masuk masjid.

Insiden tersebut menimbulkan kritikan dan ramai pihak menggesa agar kerajaan mengkaji semula SOP untuk masjid dan surau ketika SOP di banyak tempat awam dan perhimpunan awam telah dilonggarkan.

Dalam pada itu, Zulkifli menasihati pihak pengurusan masjid supaya lebih berhemah dalam tindakan mereka ketika ingin menjaga SOP yang ditetapkan oleh MKN.

“Cuma kita akan tengok dengan cara berhemah, tindakan yang kita nak buat pun dengan cara berhemah.

“Kita tidak boleh orang nak semayang sampai kita halau. Kita mungkin nasihat jadi dia bolehlah pilih tempat yang sesuai,” katanya.

Masjid dan surau yang umumnya ditutup sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac kembali dibuka dengan beberapa syarat setelah kerajaan melonggarkan sekatan membendung penularan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun beberapa negeri masih mengenakan larangan solat berjemaah bagi warga asing dan kanak-kanak, sementara semua negeri masih mematuhi syarat penjarakan fizikal antara jemaah. – 26 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen