Rakyat Malaysia kehilangan identiti sepunya 


SEMALAM saya menghadiri sebuah program yang membincangkan Rukun Negara anjuran sebuah syarikat pembekal insurans ternama.

Program tersebut agak seimbang – dengan menampilkan panel dari bekas askar, ahli akademik dan individu yang menjadi tumpuan pada program ini adalah Eddin Khoo, anak mendiang Prof Khoo Kay Kim, seorang sejarawan sanjungan bangsa.

Eddin melalui kerjasamanya dengan syarikat korporat ini telah meneroka dan menyelongkar khazanah yang ditinggalkan Prof Khoo Kay Kim untuk dikumpulkan dan dibukukan. Saya telah membaca buku pertama yang dikeluarkan, ia sedikit sebanyak mengubat kerinduan kepada Prof Khoo Kay Kim.

Barangkali benarlah yang dikatakan orang; penulis hanya akan mati apabila tulisan-tulisannya tidak lagi dibaca. Dalam hal ini legasi Prof Khoo Kay Kim akan terus hidup lama.

Rakyat Malaysia harus mencari semula identiti sepunya yang pernah kita miliki

Apabila sudah tidak menjadi siswa, saya lebih gemar mendengar persoalan-persoalan orang berbanding mengajukan soalan, kerana selalunya soalan yang saya ajukan (ketika menjadi siswa) sering berbunyi provokatif.

Melalui pemerhatian saya semalam, saya melihat ada satu perkara yang rakyat Malaysia telah hilang sehingga kita pada hari ini seperti mengalami krisis identiti. Minggu lepas, saya telah berbincang dengan seorang rakan yang sedang menyiapkan thesis PhDnya, dia memperkenalkan saya dengan terma ‘identiti sepunya’.

Identiti sepunya (common-identity) adalah sesuatu yang kita kongsi sebagai rakyat Malaysia; sesuatu yang boleh menjadikan kita bangga dan bertuah apabila menyebutnya.

Semalam perbincangan berfokus kepada Rukun Negara, ia adalah salah satu identiti sepunya yang kita miliki. Kemudian, kita turut mempunyai identiti sepunya yang lain, ia sering memiliki perkataan ‘kebangsaan’ di belakangnya.

Misalnya – Lagu Kebangsaan, Bunga Kebangsaan, Bahasa Kebangsaan dll. Identiti sepunya ini tidak boleh menjadi simbolik semata-mata; ia harus dijaga seperti harta dan disiram dengan makna. Seperti Rukunegara yang sering menjadi formaliti di sekolah, ia seharusnya dibaca dengan penuh kebanggaan dan pengertian.

Kewujudan Rukun Negara adalah panduan untuk kita hidup dengan lebih makmur di Malaysia. Ahli politik boleh melakukan seruan berapi-api tentang perpaduan, tapi pada akhirnya kita tahu – mereka hanya fokus dengan kuasa. Politikus akan melakukan apa sahaja untuk berkuasa – termasuklah melakukan kempen-kempen yang berbaur perkauman dan di luar norma masyarakat Malaysia.

Identiti sepunya tidak hanya terbatas kepada hal-hal yang memiliki perkataan ‘kebangsaan’ – nasi lemak dan roti canai adalah makanan sepunya kita miliki. Dalam bahasa mudahnya, identiti sepunya adalah sesuatu yang kita boleh kongsi bersama.

Kewujudan identiti sepunya ini akan menjadi pengikat kepada rakyat Malaysia; supaya tidaklah simbol, makanan atau budaya menjadi ‘milik’ kaum tertentu sahaja. Dalam pembinaan negara bangsa Malaysia, sikap perkongsian ‘identiti’ ini penting agar tembok bangsa dan agama yang sering digunakan ahli politik untuk kepentingan diri boleh diruntuhkan.

Peranan anak muda dalam membawa perubahan, kita harus berhati-hati dalam menyebutnya

Perbincangan tentang peranan anak muda merupakan salah satu topik yang disinggung dalam acara ini. Salah seorang ahli ekonomi ternama membincangkan tentang statistik mengerikan yang sedang dihadapi oleh anak muda hari ini – kadar pengangguran, orang kaya semakin kaya ketika pandemik, dan syarikat korporat yang ‘meratah’ orang miskin.

Saya sering mempunyai pandangan politik yang berbeza dengan ahli ekonomi tersebut, namun saya tidak pernah bosan mendengar dia memberikan statistik dengan perumpamaan yang mudah difahami. Ia sesuatu yang perlu dilakukan oleh ahli akademik dengan lebih banyak – mempermudahkan laras bahasa kajian akademik apabila bertemu orang awam. 

Semasa sesi soal jawab, persoalan anak muda ini turut dibangkitkan oleh hadirin, beberapa soalan yang dikemukakan sudah sering kita dengarkan. Tema anak muda dan keberanian, anak muda dan realiti yang tidak menyenangkan akan selalu dipilih.

Keberanian dan anak muda adalah perkataan yang harus bergandingan – namun jalan untuk berjuang tidaklah mudah, anda harus mencabar autoriti di semua peringkat dan mungkin akan pulang dengan jasad yang berdarah. Jika hendak melawan, memang perlu terluka dan didiskriminasi.

Saya gembira apabila Eddin Khoo menarik semula perbincangan ke ruang kesederhanaan apabila dia berkata – kita harus berhati-hati apabila menyebutkan anak muda.

Kumpulan yang ekstrem dan fasis juga sesekali dimotori oleh orang muda. Jadi orang muda yang mana kita sedang sebutkan? Apa yang dikatakan Eddin benar, jenama anak muda sahaja adalah satu terma yang berbahaya jika tidak diisi ideologi dan prinsip yang jelas.

Secara keseluruhan, saya merasakan program semalam sedikit berbeza dari berpuluh-puluh  program korporat yang saya pernah hadiri sebelum ini. Saya harap semoga lebih banyak syarikat korporat akan mengambil langkah berani – membincangkan isu pembinaan negara bangsa yang sesekali kedengaran sensitif.  – 26 September, 2020.


* Rahman Imuda merupakan bekas aktivis mahasiswa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen