TERDAPAT permintaan tinggi daripada sektor hospitaliti untuk kerajaan memberikan pengecualian bagi menyelamatkan industri yang terkesan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan pada Mac.
Ketika mereka memberi sokongan terhadap langkah keselamatan yang dilaksanakan untuk mengekang penularan Covid-19, mereka turut berharap tindakan diambil bagi memulakan kembali sektor pelancongan Malaysia yang sebelum ini mantap.
Mereka mencadangkan pelaksanaan gelembung perjalanan (travel bubble), mengagihkan baucar perjalanan dan rebat, serta mempromosikan pelancongan dan pendidikan sebagai usaha untuk mengukuhkan sektor itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Ormond Group Gareth Lim Tze Xiang berkata, Malaysia menawarkan banyak sebab yang menarik untuk pelancong datang melawat dan berbelanja di negara ini.
“Terdapat permintaan untuk pelaksanaan gelembung perjalanan yang selamat dengan negara jiran. Tekanan yang berpanjang juga menyaksikan banyak hotel gulung tikar,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Ormond Group yang memiliki tiga jenama hotel - Ormond Hotels, MoMo’s dan Tune - turut mengalami kesan dalam perniagaan mereka berikutan pelbagai tekanan daripada Covid-19 seperti lanjutan penutupan pintu sempadan negara.
Malah, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) juga mereka berdepan situasi yang sama. Buat masa ini, pengusaha hotel dan penginapan bergantung sepenuhnya pada perniagaan dalaman.
“Usaha untuk menubuhkan koridor perjalanan hijau dan gelembung perjalanan sangat perlu untuk memulakan kembali pelancongan antarabangsa, yang merupakan bahagian penting dalam industri, kata Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Yap Lip Seng, yang mengakui ia sedang diusahakan oleh kerajaan.
MAH turut menjalankan beberapa kepen kesedaran bagi menggalakkan perjalanan domestik, salah satunya adalah menggalakkan orang ramai mengambil peluang pengecualian cukai sehingga RM1,000 bagi tahun 2020 dan 2021.
Masyarakat juga boleh mengambil peluang daripada pengecualian SST bagi hotel sehingga Jun 2021.
Ketua Pegawai Kewangan Victoria Home, Wong Chea Hao berkata peluang untuk melakukan perjalanan dalam negara tidak terbuka sepenuhnya.
“Sebelum ini, perjalanan antarabangsa menjadi pilihan rakyat Malaysia, kebanyakannya disebabkan kewujudan syarikat penerbanan tambang murah yang berpangkalan di Malaysia.
“Sebenarnya dari segi kos tidak banyak beza melancong ke Sabah dan Thailand. Pada musim ini, kami harap banyak usaha dilakukan kerajaan untuk memperkenalkan dan menguatkan lagi Cuti-Cuti Malaysia, yang menjadi slogan mendalam di hati rakyat Malaysia.” – 30 September, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen