Budi bicara Agong pecat PM


MUHYIDDIN Yassin sememangnya berhak untuk bertegas bahawa beliau masih perdana menteri yang sah kerana belum dipanggil menghadap oleh Yang Di-Pertuan Agong, yang mempunyai kuasa untuk melantik perdana menteri.

Pelantikan seorang perdana menteri adalah budi bicara Agong seperti diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. Ia tidak tertakluk kepada nasihat Kabinet yang kelazimannya diberikan oleh perdana menteri.

Pun begitu, mandat yang diberikan kepada Agong di bawah Artikel 43(2)(a) ialah untuk melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai perdana menteri.

Tampak seperti Perlembagaan tidak memberi kuasa kepada Agong untuk memecat perdana menteri. Tetapi hakikatnya ialah Jadual Kesebelas menyatakan bahawa kuasa untuk melantik termasuklah kuasa untuk memecat. Seksyen 29 Jadual Kesebelas berbunyi begini:

“Jika suatu undang-undang bertulis memberi mana-mana orang atau pihak berkuasa kuasa untuk membuat pelantikan bagi memegang apa-apa jawatan atau kedudukan, maka, melainkan jika terdapat niat yang berlawanan, kuasa itu hendaklah ditafsirkan sebagai termasuk kuasa untuk memecat atau menggantung mana-mana orang yang dilantik ….”

Undang-undang bertulis termasuklah Perlembagaan.

Sebab itu, jika perdana menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka perdana menteri hendaklah meletak jawatan melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Agong.

Tetapi sekiranya perdana menteri enggan meletak jawatan, adalah budi bicara Agong untuk memecat beliau.

Persoalannya, adakah penentuan hilang kepercayaan terhadap perdana menteri hanya boleh dibuat melalui undi tidak percaya di Dewan Rakyat?

Dalam kes Ir Hj Mohammad Nizar bin Jamaluddin v Dr Zambry bin Abdul Kadir [2010] 2 MLJ 285, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa penentuan isu kepercayaan terhadap menteri besar (MB) Perak boleh dilakukan oleh ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam mesyuarat DUN atas undi tidak percaya atau melalui apa-apa sebab lain tentang sama ada MB memegang kepercayaan majoriti ahli-ahli DUN.

Keterangan hilang kepercayaan terhadap MB boleh dikumpulkan daripada sumber-sumber luar yang lain dengan syarat, ia dibuktikan sewajarnya. Sumber-sumber tersebut termasuklah representasi yang dibuat oleh ahli-ahli DUN bahawa MB tidak lagi menikmati sokongan majoriti ahli-ahli DUN.

Dalam kes tersebut, terdapat keterangan tentang sokongan oleh 31 ahli DUN dari Barisan Nasional (BN). Justeru, ia memberikan BN kemenangan majoriti dalam DUN Perak. Kesemua ini jelas menunjukkan hilang kepercayaan daripada majoriti ahli-ahli DUN di bawah kepimpinan MB ketika itu.

Pun begitu, kepimpinan yang ada tidaklah jatuh sehingga Agong berpuas hati dengan kehilangan kepercayaan terhadap perdana menteri yang membolehkan baginda memecat perdana menteri atas budi bicaranya. – 26 September, 2020.

*Hafiz Hassan adalah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen