Mengapa Oscar itu langsung tak penting?


Haris Hauzah

KEBANYAKAN orang seni memang jarang mahu berterus-terang. Mereka malah lebih gemar mendiamkan nasib diri. Lantas kerana menyedari, bahawa ada tanggapan kerajaan dan masyarakat yang tak menganggap seni itu ekonomi.

Hal itu juga jadi sebab mengapa seni di daerah ini lebih sering sunyi serta tidak dianggap gengsi. Malah segala permasalahan dan kemelut seni jarang-jarang mahu dibincang dalam sidang Parlimen yang disusuli solusi dasar dan akta oleh pak cik mak cik menteri.

Masyarakat sampai jadi salah dalam menilai seni. Mereka hanya nampak orang seni sebagai selebriti. Sementara seni tidak punyai nilai seandai tiada lambakan budaya populis dengan ledak-ledakkan ‘viral’ yang mengila-gila dirai.

Akhirnya orang seni mengunyah nasib malangnya sendiri. Bergelut sampai berebut-rebut sesama sendiri hanya untuk mendapatkan “job kecil” yang mereka boleh tukar jadi lauk dan nasi.

Sementara masyarakat, kerajaan dan menteri terus menerus buta seni. Lebih gemar meraikan retorik menang Oscar berbanding melihat permasalahan dan menilai semula kemajuan lalu membangunkan seni.

Naratif kemelut industri perfileman dalam negara ini adalah kemiskinan. Justeru kerana itulah ‘Road to Oscar’ tidak penting dan langsung tidak wajar untuk dijadikan pertimbangan cita-cita, impian dan keutamaan orang-orang di Finas dan kementerian.

Aku ingin memanjangkan nota yang telah diturunkan dalam tulisan aku sebelum ini. Dalam tulisan itu aku menitipkan tiga perkara yang lebih wajar Finas dan kementerian berikan fokus dan perhatian: restorasi filem-filem lapuk, mengarkibkan semua filem yang pernah dihasilkan di negara ini, serta memperkasakan sinema filem seni atau Art House Cinema.

“Road to Oscar” yakni program inisiatif pembangunan filem yang sedang diusahakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia sekarang tak ubah seperti kata Keris Mas dalam novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur.

“Pembangunan yang berjalan sekarang di dunia membangun, di negara kita khususnya adalah pengadunan dan pembakaran kuih resepi barat untuk makanan barat.

“Jika ini berjalan terus, kita akan menjadi dapur yang membakar diri sendiri untuk dunia di luar dunia kita.”

“Memang tidak ada apa-apa yang salah dalam resepi ini, tetapi ia bukan untuk selera kita.”

Mantik di sebalik kata-kata nukilan sasterawan negara pertama dalam novelnya yang berkait dengan kemajuan dan kekayaan itu harus dicerna kerana isu pokok dan permasalahan akar dalam industri perfileman tempatan ini adalah hal kemajuan dan isu kemiskinan.

Industri ini tidak sungguh-sungguh secara serius dimajukan manakala ramai para pekerjanya hidup dan mati dalam kemiskinan.

Seperti yang kau tulis sebelum ini – memang pernah ada cita-cita dan sedikit usaha dari Finas, agar novel-novel besar kesusasteraan tempatan seperti Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur itu diadaptasi menjadi filem, biar masyarakat kembali kenal dan tahu bahawa dunia kesusasteraan dan filem itu seni penting yang ada potensi yang wajar diberi lebih penghargaan.

Sayangnya usaha mengadaptasi karya-karya kesusasteraan tempatan bukan sejenis kerja murahan. Usaha semahal itu memang menuntut banyak sekali ketekunan dan ketelitian kerja. Malah sejumlah daya harus dikerah hanya bagi memperoleh persetujuan serta mendapatkan sekian macam kerjasama dan dukungan.

Entah barangkali sebab itu akhirnya kempen mengadaptasi karya-karya sastera tempatan itu kelenyapan dan dilupakan.

Mengukur kemajuan perfileman tidak seharusnya hanya duduk dalam ruang lingkup penghasilan. Keberhasilan mengeluarkan filem-filem box-office belum tentu suatu kejayaan yang harus dibanggakan, apatah lagi kalau sejak dari awal tujuan menghasilkan sesebuah filem adalah untuk diterima dan menang anugerah Oscar.

Untuk menjadi suatu kuasa perfileman dunia, yang mana filem keluarannya boleh dijual sebagai suatu produk budaya yang dapat dibangga-banggakan. Tentu saja ekosistem dunia seni perfileman harus terlebih dahulu dibangun dan diperkasakan.

Malaya sebelum berpisah dengan Singapura adalah sebuah negara yang mula terlibat dengan acara tayangan filem semenjak tahun 1897. Malah kita telah mula menghasilkan filem sendiri sejak dari tahun 1926.

Justeru dunia perfileman moden kita sekarang sepatutnya sudah ada kekuatan ekosistemnya sendiri. Lalu tidak lagi seratus peratus asyik mengharapkan bantuan serta dana kerajaan, kerana perfileman adalah perniagaan dan ekonomi yang mampu menjana industrinya sendiri.

Malangnya Finas sejak hampir 40 tahun ditubuhkan tidak mahu memanafaatkan segala khazanah filem yang ada ditangan. Sebaliknya mereka lebih gemar mengejar angan-angan Oscar untuk megah-megahkan.

Minat masyarakat terhadap seni dan filem harus dipupuk. Finas juga harus bijak mencuri perhatian pengkaji filem termasuk sekolah-sekolah filem di seluruh dunia untuk datang ke negara ini.

Justeru kerana itu restorasi filem-filem lapuk yang pernah negara ini hasilkan perlu disegerakan sebelum ia lenyap ditelan zaman.

Segala khazanah perfileman harus diselongkar lalu disusun dan dikemaskini dalam suatu data perpustakaan yang diarkibkan. Anak muda yang ingin menonton filem Pemburu, Matinya Seorang Patriot, Johnny Bikin Filem, Tok Perak, Seorang Tua di Kaki Gunung atau Seman ada tempat untuk dijadikan rujukan.

Keseriusan merealisasikan ini jauh lebih penting dari hasilkan filem untuk Oscar kerana ia akan langsung mewujudkan ekosistem perniagaan dan ekonomi perfilemannya sendiri.

Ia akan menarik minat kuasa-kuasa perfileman dunia, paling tidak atas dasar sejarah produk budaya dari deretan filem-filem yang pernah negara kita keluarkan. Lalu kemudian jaringan kajian dan pengajian antarabangsa tentang filem dapat dijalinkan.

Satu lagi yang tak kurang penting untuk dibangunkan adalah sinema filem seni atau ‘art house cinema’.

Memang telah wujud sejumlah sinema filem seni yang dibangunkan anak-anak muda secara mandiri di serata negeri. Apa yang harus dilakukan Finas hanyalah menyokong, mempromosi dan mendanai mereka ini agar dapat terus beroperasi hingga pada hujungnya dapat berdiri sendiri.

Pembangunan sinema filem seni menurut acuan kita sendiri ini penting bagi memecahkan monopoli sinema-sinema kaya mainstream. Selain dapat mewujudkan lebih ramai usahawan filem bergelar tauke wayang, wacana, apreasasi dan cita rasa budaya seni filem turut dapat diperkayakan dari sini.

Sudah hampir 40 tahun Finas disibukkan dengan retorik menteri. Apa gunanya tercalon Oscar tapi cita-cita dan citra budaya kesenian filem kita masih papa dan miskin.

Itu sebabnya tiga perkara itu penting dan segalanya boleh bermula dari sini. – 26 September, 2020.

 

 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen