SEKURANG-kurangnya 22 orang termasuk kadet tentera terbunuh manakala dua lagi parah selepas pesawat tentera Ukraine terhempas berhampiran Kharkiv di timur negara itu, kata kementerian dalam negeri Ukraine.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Anton Gerashchenko yang mengesahkan jumlah kematian itu kepada AFP menyifatkan insiden itu sebagai tragedi mengejut dan mengatakan punca insiden itu masih disiasat.
Rakaman tragedi berkenaan oleh pihak berkuasa di media sosial memaparkan bangkai pesawat Antonov-26.
“Kebanyakan yang terbunuh adalah pelajar” Universiti Tentera Udara Kharkiv, kata tentera udara Ukraine dalam satu kenyataan.
Ketika kejadian 27 penumpang terdiri daripada 20 kadet dan tujuh anak kapal, tambahnya.
22 disahkan maut, dua parah dan operasi mencari tiga lagi mangsa masih diteruskan, kata pasukan kecemasan.
“Mereka yang cedera kini dalam keadaan kritikal,” kata gabenor wilayah itu Oleksiy Kucher di Facebook.
Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky menyifatkan kejadian itu sebagai “tragedi dahsyat” dan berkata beliau akan ke Kharkiv pada Sabtu.
“Kami akan menubuhkan satu suruhanjaya bagi menyiasat semua punca dan kemungkinan tragedi itu,” tulisnya di Facebook.
Pesawat berkenaan terhempas pada pukul 8.50 malam waktu tempatan, dua kilometer dari pangkalan udara Chuhuiv, menurut perkhidmatan kecemasan.– AFP, 26 September, 2020.
Komen