Pengundi Tawau bimbang untuk pulang kerana Covid-19 


Sheridan Mahavera

Kebanyakan daripada pengundi takut untuk pulang kerana bimbang dijangkiti Covid-19 di Tawau atau daripada ahli keluarga mereka yang disaring.– Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 26 September, 2020.

KLUSTER Covid-19 di Tawau, Sabah mencetuskan kebimbangan kepada pengundi yang pada awalnya mempunyai tiket penerbangan untuk pulang mengundi hari ini, kata kumpulan yang membantu mereka.

Menurut kumpulan “Pulang Mengundi Sabah”, yang membantu rakyat Sabah yang berpendapatan rendah di Semenanjung membeli tiket penerbangan untuk mereka pulang mengundi, kira-kira 40 pengundi dari kawasan Tawau memilih untuk tidak pulang mengundi.

Mereka membatalkan hasrat untuk pulang selepas kawasan itu diwartakan sebagai zon merah apabila terdapat kluster yang melibatkan tahanan di penjara.

Penyelaras kempen Aaron Denison Deivasagayam berkata, kebanyakan daripada mereka takut untuk pulang kerana bimbang dijangkiti Covid-19 di Tawau atau daripada ahli keluarga mereka yang disaring.

Ada juga pengundi di Tawau tidak pulang mengundi kerana bimbang hilang mata pencarian sekiranya mereka dipaksa menjalani kuarantin selepas kembali ke Semenanjung.

“Sesetengah daripada pengundi ini menjana pendapatan secara harian. Mereka sudah sedia untuk pulang dan kami sudah belikan tiket untuk mereka.

“Namun majikan mereka memberitahu sekiranya mereka dikenakan kuarantin di Sabah atau selepas kembali, mereka akan hilang gaji mereka.

“Oleh kerana mereka perlu menyara keluarga, mereka membuat keputusan untuk tidak mengambil risiko dan pulang untuk menunaikan hak demokrasi mereka,” kata Aaron kepada The Malaysian Insight.

Petugas SPR melakukan persiapan terakhir menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 26 September, 2020.

Namun kira-kira 15 pengundi di Tawau tetap mahu pulang untuk mengundi walaupun berdepan risiko pandemik, katanya.

Kumpulan berkenaan berjaya mengutip sebanyak RM145,090 daripada sumbangan awam untuk membeli 330 tiket penerbangan.

Mereka bekerjasama dengan syarikat penerbangan yang mengenakan caj RM400 untuk tiket pergi balik sama ada ke Kota Kinabalu, Sandakan atau Tawau.

Bagaimanapun kumpulan berkenaan terpaksa membayar lebih untuk 11 tiket pada saat akhir yang berharga RM491 seorang.

Daripada 330 tiket, 275 ditebus dan penerbangan terakhir untuk pulang ke Sabah dijadualkan pada pagi.

Antara 55 rakyat Sabah, 40 enggan pulang kerana Covid-19 manakala 15 lagi tidak dapat dikesan.

Kebanyakan pengundi bimbang untuk pulang ke Tawau selepas kawasan berkenaan diwartakan sebagai zon merah susulan peningkatan kes Covid-19.– Gambar fail The Malaysian Insight, 26 September, 2020.

Kira-kira 60% akan kembali ke Kota Kinabalu, 35% dari Tawau manakala 15% adalah dari Sandakan.

Mereka yang layak mendapat bantuan itu perlu buktikan mereka adalah pengundi berdaftar dan berpendapatan bawah RM3,000 sebulan.

“Pendapatan bulanan mereka yang dibantu adalah antara RM500 dan RM2,300,” katanya.

Sebanyak RM2,450 dibelanjakan untuk pembayaran balik, bil telefon dan kos pentadbiran, sementara RM1,810 digunakan untuk pelitup muka dan pembersih tangan.

Aaron berkata baki sebanyak kira-kira RM7,000 dari sumbangan itu akan digunakan untuk membayar balik pelajar yang telah membeli tiket penerbangan mereka sendiri.

“Rancangannya ialah mungkin untuk berikan bantuan 50% daripada kos mereka memandangkan mereka tiada pendapatan. Kami mungkin akan sediakan wang itu untuk kempen bagi membantu rakyat Sarawak pulang mengundi pada pilihan raya negeri itu nanti.” – 26 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen