Pejuang tak sokong sebab Anwar tolak, kata Dr Mahathir


Zaim Ibrahim

Pengasas Pejuang, Dr Mahathir berkata, Anwar sudahpun menolak sokongan partinya ketika pengumuman presiden PKR itu pada Rabu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2020.

PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak dapat menyokong pembentukan kerajaan baharu yang diusahakan Anwar Ibrahim kerana sudah ditolak sejak awal, kata Dr Mahathir Mohamad.

Pengasas parti Pejuang itu berkata, Anwar sudahpun menolak sokongan partinya ketika pengumuman presiden PKR itu pada Rabu.

“Pejuang ditolak (daripada bersama Anwar Ibrahim). Dia kata semua sokong dia melainkan Dr Mahathir.

“Saya ditolak terus tak boleh dengan dia jadi kita nak sokong macam mana? Kita ditolak awal-awal lagi,” kata Dr Mahathir ketika ditanya sama ada akan menyokong kerajaan baharu itu.

Beliau bercakap kepada pemberita di Langkawi.

Beliau juga menggesa Anwar untuk membuktikan dakwaan bahawa beliau benar-benar mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan.

Katanya, jika Anwar tidak mampu membuktikan perkara itu ia akan menimbulkan ketidaktentuan politik dalam negara.

“Saya harap kalau Anwar Ibrahim ada (majoriti), buktikan… Buktikan dia betul-betul mempunyai cukup bilang dan kita putuskan perkara itu.

“Tapi apabila kita sebut sesuatu yang tidak beri penjelasan kononnya ada majoriti, maka ini menimbulkan keadaan tidak stabil dalam negara.

“Ia tetap mempunyai kesan terhadap pelaburan, perniagaan dan sebagainya,” kata beliau di Langkawi.

Katanya, ini bukanlah kali pertama Anwar mengemukakan dakwaan menguasai majoriti di Dewan Rakyat untuk mengambil alih kerajaan.

Beliau memberi contoh sewaktu Yang di-Pertuan Agong menemuduga setiap ahli Parlimen pada Februari lalu untuk menentukan ahli Dewan yang layak menjadi perdana menteri.

“Dia dulu penah buat dakwaan ada majoriti tapi akhirnya tak ada.

“Pada masa saya selepas letak jawatan (perdana Menteri), Yang di-Pertuan Agong minta nyatakan pendirian setiap ahli Parlimen, sekali lagi kata ada majoriti

“Pakatan Harapan (PH) patut bagi nama saya tetapi sebab Anwar Ibrahim anggap ada majoriti, PH bagi nama dia tapi tidak cukup,” katanya.

Oleh itu beliau menggesa agar sokongan majoriti itu diputuskan di Dewan Rakyat.

“Perkara macam ini kalau betul-betul ada majoriti kita tunjuk bukti dan sanggup pergi Dewan Rakyat nak dengar siapa dapat sokongan siapa tidak,” tambahnya.

Dalam pengumuman pada Rabu, Anwar tidak menyatakan dengan tepat jumlah ahli Parlimen yang kini menyokongnya namun memberi jaminan ia menyakinkan untuk membentuk kerajaan baharu.

Ketika ditanya sama ada Dr Mahathir dan parti Pejuang menyokongnya, Anwar sekadar menjawab “belum”.

Katanya, beliau sudah diperkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada pagi Selasa, namun ditangguhkan.

Baginda kini menerima rawatan di Institut Jantung Negara.

Anwar kali pertama mendakwa mendapat sokongan untuk mengambil alih kerajaan pada 2008, ketika pentadbiran negara diketuai Abdullah Badawi sebagai perdana menteri.

Pada Februari lalu, beliau juga mengumumkan mendapat majoriti membentuk kerajaan. – 25 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen