Populariti GRS kalahkan Warisan menjelang PRN Sabah, kata SEEDS


Chan Kok Leong

PRN Sabah bakal menyaksikan kekuatan Perikatan Nasional yang menjadi kerajaan persekutuan ketika ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 25 September, 2020.

GABUNGAN Rakyat Sabah (GRS) mempunyai kelebihan 2.7% dari segi populariti berbanding Warisan Plus, kata SEEDS.

Menurut ketua Society Empowerment and Economic Development (SEEDS) Dr Arnold Puyok, 43.4% responden memilih GRS berbanding 40.7% bagi Warisan Plus.

Sebanyak 15.9% responden memilih parti lain, kata SEEDS.

Penemuan itu adalah hasil tinjauan kedua terhadap sentimen pengundi Sabah. Ia dilakukan dengan menemubual 1,138 responden berstrata di Sabah bermula 21 hingga 24 September. Margin kesalahan diletakkan pada kadar 3%.

Menurut SEEDS, tinjauan itu juga menunjukkan kecenderungan kuat terhadap kerajaan persekutuan Perikatan Nasional jika dibandingkan dengan kerajaan negeri Warisan di Sabah.

Dari segi ekonomi, 58.9% responden memilih Perikatan berbanding 56.6% bagi Warisan. Berhubung isu keselamatan dan pengurusan pandemik Covid-19, responden sekali lagi memilih Perikatan dengan kadar 51.1% dan 82.9%.

Hanya 39.2% memilih Warisan berhubung isu keselamatan sementara 45.3% bagi isu pandemik.

Warisan, bagaimanapun, mendapat sokongan di kalangan rakyat Sabah dalam menangani hubungan etnik (57.1%) dan pentadbiran (58%). Dalam kategori yang sama, Perikatan hanya memperoleh 35.7% bagi isu menangani masalah perkauman dan 53.8% dalam isu pentadbiran.

Tinjauan SEEDS pertama bermula dari 4 hingga 31 Ogos, menunjukkan kecenderungan kuat terhadap Warisan dan sekutunya walaupun kerajaan itu tidak popular.

Tinjauan pertama juga mendapati Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan yang dipimpin Perikatan Nasional sangat popular. – 25 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen