Belum ada tarikh Anwar menghadap Agong, kata PKR


Diyana Ibrahim

Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata semua pihak perlu menghormati hak Anwar Ibrahim untuk mempersembahkan senarai nama ahli Parlimen yang menyokongnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2020.

PKR mengesahkan belum ada tarikh ditetapkan untuk Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong yang kini sedang mendapat rawatan di Institut Jantung Negara.

Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata ketika ini parti itu hanya dimaklumkan Yang di-Pertuan Agong masih lagi dalam keadaan gering.

“Saya dimaklumkan Agong masih gering,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau juga enggan mengesahkan sama ada Majlis Presiden Pakatan Harapan bermesyuarat petang ini tetapi menurutnya sekretariat gabungan parti itu akan mengeluarkan kenyataan.

Istana Negara juga hari ini dilaporkan menyebut, Yang di-Pertuan Agong masih lagi menerima rawatan dan permohonan Anwar untuk menghadap baginda masih tertunda.

Laporan Reuters yang memetik sumber menyebut, baginda tidak akan menerima sesiapa untuk masuk menghadap selama seminggu.

Pertemuan itu akan mengesahkan sama ada Anwar benar-benar memiliki jumlah sokongan majoriti ahli Parlimen untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan.

Dalam pada itu, Shamsul dalam kenyataan terdahulu memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak menghalang pertemuan Anwar dengan Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, semua pihak perlu menghormati hak Anwar untuk mempersembahkan senarai nama ahli Parlimen yang menyokongnya.

Beliau juga menuntut Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin segera berundur daripada jawatan perdana menteri kerana sudahpun hilang keabsahan untuk kekal di jawatan tersebut.

Muhyiddin terdahulu hari ini menegaskan beliau masih perdana menteri dan menurutnya perkara itu disahkan Peguam Negara Idrus Harun.

Dalam sidang media pada Rabu, Anwar berkata beliau juga telah mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa, tetapi ditangguhkan.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan sejumlah ahli Parlimen parti itu tidak lagi menyokong Muhyiddin dan tidak dapat menghalang sekiranya wakil rakyat itu menyokong Anwar.

Ia menunjukkan Muhyiddin tidak lagi menguasai Dewan Rakyat kerana selama ini hanya mendapat majoriti dengan kelebihan beberapa kerusi.

Dalam pengumumannya pada Rabu, Anwar tidak menyatakan dengan tepat jumlah ahli Parlimen yang kini menyokongnya.

Bagaimanapun jumlah sokongan itu kukuh dan meyakinkan untuk membolehkan kerajaan baharu dibentuk, katanya. – 25 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen