PERTIKAIAN antara penasihat undang-undang Kerajaan Negeri Sarawak JC Fong dan Ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam kes Mahkamah Persekutuan baru-baru ini akan dibawa ke mahkamah.
Fong hari ini berkata, beliau akan mengemukakan saman fitnah ke atas pengerusi DAP Sarawak itu memandangkan Chong semalam berkata beliau berpegang kepada kenyataan yang dibuat lapan hari lalu.
Chong berkata, hujah dalam MA63 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan 1962 (IGC) tidak mempunyai kuasa undang-undang dalam penyerahannya ke atas kes Mahkamah Persekutuan awal tahun ini.
Menurut Chong, tiada sebab untuk Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg untuk berdebat dengan Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia berhubung MA63 kerana beliau percaya ia tiada kuasa undang-undang.
Katanya, melainkan kerajaan negeri memberi penjelasan yang kukuh mengapa Fong membawa pendirian yang bercanggah dalam kes Keruntum, semua cakap-cakap tentang autonomi, perjalanan ke London dan menyerahkan dokumen bersejarah kepada perdana menteri hanyalah retorik politik untuk memperdaya rakyat Sarawak.
Chong mendakwa Fong pernah berhujah di hadapan Mahkamah Persekutuan dalam satu melibatkan satu syarikat pembalakan Sarawak tidak mempunyai hak dari segi undang-undang atau perlembagaan untuk menuntut penguatkuasaan peruntukan dalam Laporan IGC.
Fong menafikan beliau mengemukakan perkara itu di mahkamah itu dan menawarkan untuk memberikan kepada Chong jawapan bertulis untuk menbolehkan ahli Parlimen itu menerangkan bahagian mana yang menyebut “Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan IGC tiada kuasa undang-undang di Malaysia”.
The Borneo Post melaporkan Fong berkata beliau akan menuntut ganti rugi teruk terhadap Chong. – 13 Disember, 2017.
Komen