BERHUBUNG isu peletakan jawatan perdana menteri (PM) akibat isu kehilangan kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, penelitian bukan sahaja perlu dibuat secara terbatas kepada Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan bahkan pada prerogatif Yang di-Pertuan Agong (Agong) di bawah Perlembagaan.
Prerogatif itu perlu dilaksanakan oleh Agong untuk mencapai objektif amanah pemerintahan yang terletak di atas bahu baginda.
Perkara 43(4) itu sendiri mengandungi syarat tertentu sebelum prinsip peletakan jawatan PM berlaku.
Syarat utama yang perlu dipenuhi terlebih dahulu ialah: “Jika PM tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat”
Pihak yang boleh menentukan fakta di atas berlaku yang mengakibatkan peletakan jawatan PM ialah Agong sendiri, iaitu selepas baginda berpuas hati keadaan itu berlaku kerana baginda yang melantik PM.
Perkara 43 tidak mentakrif secara khusus proses atau prosedur untuk menentukan keadaan seorang PM tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat atau PM itu telah hilang undi kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Apa yang jelas dalam Perlembagaan, Agong melantik PM menurut budi bicara baginda maka bagindalah sewajarnya memutuskan peletakan jawatan seorang PM.
Bagaimanapun, pelaksanaan keputusan itu dibatasi oleh peruntukan Perlembagaan, iaitu apabila PM itu tidak lagi mendapat atau hilang undi kepercayaan majoriti ahli Dewan.
Namun begitu, Agong mempunyai prerogatif untuk mendapatkan maklumat dan pengesahan fakta berkaitan mengikut pertimbangan baginda, sama ada PM itu sudah hilang undi kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Itu bertujuan memberi ruang kepada baginda untuk membuat keputusan akhir yang terbaik buat negara dan rakyat.
Prinsip undang-undang yang jelas ialah, seorang PM dikehendaki untuk meletakkan jawatan, jika berlaku dua syarat:
1. PM itu tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sama ada atas kepercayaan dan pandangan daripada PM itu sendiri (misalnya dalam kes Dr Mahathir Mohamad) atau melalui proses di Parlimen, atau keadaan lain melalui kaedah yang ditentukan oleh Agong selagi tidak bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
2. Agong tidak memperkenankan pembubaran Parlimen atas permintaan PM itu.
Justeru, peletakan jawatan PM di bawah Perkara 43(4) tidak berlaku secara automatik atas dakwaan mana-mana pihak. Ada syarat yang perlu dipatuhi sebelum Agong melaksanakan prerogatif baginda.
Agong hendaklah terlebih dahulu berpuas hati keadaan yang dibincangkan itu sudah berlaku.
Malah, Agong mempunyai prerogatif untuk menasihati mana-mana pihak untuk mendahulukan kepentingan yang lebih utama demi maslahah negara dan rakyat.
Dalam situasi sekarang, mungkin ada kewajaran bagi Agong untuk menawarkan dua pilihan kepada ahli Dewan Rakyat, sama ada bekerjasama dengan PM serta jemaah menterinya untuk menguruskan isu yang ada demi kesejahteraan rakyat sehingga tamat tempoh hayat Parlimen penggal ini, atau Parlimen dibubarkan agar persepsi rakyat kepada integriti mereka terpelihara.
Amalan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan seperti keputusan kes di Perak, dan apa yang berlaku di Selangor suatu ketika dulu menunjukkan prosedur untuk membuktikan menteri besar sebagai ketua kerajaan negeri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti boleh berlaku di luar Dewan Perundangan.
Di peringkat Persekutuan, bekas perdana menteri Dr Mahathir meletakkan jawatan kerana tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat tanpa prosiding Parlimen.
Justeru, selagi Muhyiddin Yassin percaya beliau masih mendapat kepercayaan majoriti dan tiada bukti sebaliknya, maka beliau masih PM yang sah. – 25 September, 2020.
* Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, pengasas Jurisprudens Watan merangkap penasihat undang-undang Universiti Malaysia Perlis (Unimap).
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen