Agong berhak temui sesiapa pun


SEMALAM negara dikejutkan apabila Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa beliau mempunyai mempunyai cukup sokongan bagi membentuk kerajaan baharu.

Pengumuman itu sebetulnya menimbulkan banyak persoalan, apakah beliau benar-benar mempunyai jumlah sokongan yang mencukupi bagi menumbangkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai oleh Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin pula dalam kenyataan lain menegaskan bahawa beliau masih perdana menteri selagi mana Anwar tidak membuktikan majoriti.

Sebilangan orang mungkin memandang remeh apa yang dinyatakan oleh Ketua Pembangkang tersebut.

Keadaan menjadi bertambah menarik apabila Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa Umno tidak dapat menghalang mana-mana ahli parlimennya daripada menyokong Anwar Ibrahim membentuk kerajaan baharu.

Kenyataan daripada Presiden Umno tersebut sebetulnya agak memeranjatkan.

Jika apa yang dikatakan oleh beliau itu benar, boleh dikatakan bahawa nasib Kerajaan PN sudah terumbang-ambing.

Perdana Menteri terpaksa berdepan dengan hakikat bahawa beliau tidak lagi mendapat sokongan daripada majoriti ahli Dewan Rakyat.

Beza jumlah antara pihak kerajaan dan pembangkang di dalam Dewan Rakyat sekarang adalah sangat sedikit.

Justeru, apabila Presiden Umno yang memiliki 39 kerusi daripada kerusi kerajaan (sekaligus merupakan parti terbesar dalam Kerajaan PN) membuat kenyataan sedemikian, kenyataan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu ada asasnya.    

Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa jika perdana menteri tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli-ahli Dewan Rakyat, maka perdana menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri, melainkan jika atas permintaannya Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen.

Perkara 43(2)(a) pula menyebut, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik perdana menteri daripada kalangan ahli Dewan Rakyat, yang pada hemat baginda akan mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan itu.

Perlu diingat bahawa dalam konteks demokrasi berparlimen ala Westminster yang diamalkan di negara kita, kerajaan yang memerintah ‘hayat’nya tamat apabila  - (i) selesai tempoh 5 tahun;  atau, (ii) kerajaan yang memerintah itu kalah usul undi tidak percaya dalam sidang Dewan Rakyat.

Keadaan kedua sebenarnya boleh berlaku pada bila-bila masa. Ini berbeza daripada amalan demokrasi berpresiden yang diamalkan di Amerika Syarikat atau Indonesia.

Di sana, presiden apabila dilantik, kekal di jawatan itu sehingga tamat penggal pemerintahan kecualilah jika ada prosiding pemecatan dibuat ke atasnya dan prosiding itu berjaya.

Anwar menjelaskan bahawa beliau akan mempersembahkan nama-nama ahli Parlimen yang menyokong beliau apabila mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Ada pandangan menyebut bahawa hanya perdana menteri yang layak mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan beliau masih ada kepercayaan majoriti atau tidak.

Dengan hormat, pandangan sebegini sangat ganjil. Frasa “tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli-ahli Dewan Rakyat” dalam Perkara 43(4) tidak diperincikan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, untuk mengatakan hanya perdana menteri yang layak mengadap serta memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong sama ada beliau memiliki kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat atau tidak - pada hemat saya, agak lemah di sisi undang-undang.

Tambahan pula, dalam kes Nizar Jamaluddin lwn Zambry Abd Kadir yang didengari oleh Mahkamah Persekutuan pada tahun 2010, diputuskan bahawa kepercayaan majoriti ahli dewan undangan negeri boleh ditentukan di luar dewan.

Kes itu turut menyatakan bahawa selain dari dalam Dewan, Sultan juga boleh menentukan siapa Menteri Besar jika ada representasi dibuat kepada baginda dalam hal itu.

Inilah juga prinsip yang diguna pakai apabila berlakunya pertukaran kerajaan negeri dari Pakatan Harapan (PH) ke Perikatan Nasional (PN) baru-baru ini. Negeri-negeri yang terlibat adalah Perak, Kedah, Johor dan Melaka.

Yang di-Pertuan Agong berhak untuk menemui sesiapa pun. Hal ini perlu bagi membolehkan baginda menjalankan tugas sebagai seorang raja berperlembagaan.

Justeru, baginda berhak untuk  memperoleh maklumat dari pelbagai sumber, yang tidak semestinya terhad kepada ahli Jemaah Menteri semata-mata.

Ini mencakupi apa yang disebut oleh seorang ahli sarjana undang-undang Inggeris bernama Bagehot : “the right to be consulted, the right to encourage, the right to warn “.

Kita mendoakan yang baik-baik untuk negara kita. Semoga Yang di-Pertuan Agong dapat mempertimbangkan segala faktor serta membuat keputusan yang terbaik demi kemaslahatan rakyat dan negara. – 25 September, 2020.

* Dr Nizamuddin Alias merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen