Shafie minta maaf kerana PRN Sabah diadakan ketika pandemik 


Chan Kok Leong

Mohd Shafie Apdal memohon maaf kerana sedar mengadakan PRN ketika pandemik meletakkan pengundi kepada risiko lebih besar untuk dijangkiti Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 September, 2020.

KETUA menteri sementara Sabah Mohd Shafie Apdal memohon maaf kepada semua rakyat Sabah kerana mengadakan pilihan raya negeri semasa wabak Covid-19.

“Saya sedar dan tahu kita berdepan pilihan raya di tengah pandemik Covid-19. Dan di kesempatan ini saya ingin memohon ampun dan maaf kepada seluruh rakyat di bumi Sabah ini kerana berhadapan dengan pilihan raya yang menyebabkan kami berkempen dan mendampingi setiap pengundi,” kata presiden Warisan itu dalam sebuah pesan khas di laman Facebooknya malam ini.

“Kerana pilihan raya ini, kita semua menghadapi risiko lebih besar dijangkiti Covid-19.”

Adun Senallang itu berkata, pilihan raya Sabah disebabkan oleh kekacauan politik yang bermula di Semenanjung pada Februari.

“Akibat dari kekacauan politik di peringkat negara, orang yang sama juga ingin merebut kuasa di sini.

“Dalam keadaan seperti itu, kami terpaksa membubarkan DUN dan mengadakan pilihan raya baharu agar pengundi dapat menentukan siapa kerajaan dan bukan oleh mereka yang ingin merebut kekuasaan untuk diri mereka sendiri,” kata Shafie.

Beliau berkata pengundi harus menggunakan pilihan raya untuk memilih Adun bermaruah yang akan membentuk kerajaan yang jujur.

“Tunaikanlah tanggungjawab kita untuk mengundi dan memilih orang yang tepat untuk memimpin negeri ini. Sila keluar mengundi pada hari Sabtu agar kita dapat memperoleh kerajaan yang kuat dan stabil untuk melindungi kepentingan Sabah bagi semua kaum,” kata ahli Parlimen Semporna itu.

Negara berdepan pergolakan politik pada Februari selepas Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan yang menyebabkan kerajaan jatuh selepas hanya 22 bulan memerintah.

Berikutan itu, kerajaan Perikatan Nasional yang baharu, dipimpin oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, mengambil alih negeri PH lain seperti Johor, Melaka, Perak dan Kedah apabila ada Adun berpaling tadah.

Pada Julai, bekas ketua menteri Sabah Musa Aman cuba melakukan hal yang sama di Sabah dengan mendapatjan lebih 10 Adun untuk belot.

Bagaimanapun, percubaan itu gagal selepas Yang di-Pertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin bersetuju dengan permintaan Shafie untuk membubarkan DUN bagi membolehkan PRN baharu.

Kira-kira 1.12 juta penduduk Sabah akan mengundi pada Sabtu untuk memilih kerajaan baharu. – 24 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen