Umno masih mampu junjung atau humban PM


Jahabar Sadiq

MASANYA elok-elok sahaja.

Genap tujuh bulan selepas kehilangan peluang untuk menjadi perdana menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan beliau mendapat sokongan untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan.

Ironinya, sokongan itu daripada ahli Parlimen yang menyokong bekas sekutunya Muhyiddin Yassin dalam atur gerak politik 23 Februari di Hotel Sheraton, Petaling Jaya.

Pengumuman Anwar semalam di Hotel Le Meridien di Kuala Lumpur membangkitkan pelbagai reaksi daripada pemimpin parti politik.

Paling jelas daripada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang mengakui sejumlah wakil rakyat parti itu tidak berpuas hati dengan kerajaan Muhyiddin, seminggu sebelum pentadbiran tersebut cukup usia tujuh bulan.

Sentimen itu bukan perkara baharu malah tidak melibatkan isu peribadi dengan Muhyiddin mahupun Anwar sejak tujuh bulan lalu.

Ia hanyalah sebahagian daripada usaha Umno untuk memaksa pilihan raya mengejut diadakan, selepas kalah dalam pilihan raya umum 2018.

Inilah realiti yang perlu dihadapi Anwar ketika Muhyiddin menghitung sokongan yang masih ada untuk mempertimbangkan peluang di hadapannya menjelang akhir minggu ini.

Muhyiddin boleh sahaja meletak jawatan, seperti dilakukan Dr Mahathir Mohamad pada 24 Februari untuk membolehkan Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan selepas menemuduga 222 ahli Dewan Rakyat.

Hasilnya pada akhir Februari lalu, baginda memutuskan Muhyiddin memperolehi sokongan majoriti dan terbukti melalui beberapa pengundian di Dewan Rakyat dalam beberapa bulan lalu.

Tapi Muhyiddin juga boleh menasihatkan baginda untuk membubarkan Dewan Rakyat untuk membolehkan pilihan raya baharu diadakan.

Pilihan tersebut tentunya tidak digemari Anwar yang menegaskan beliau mendapat “sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan” untuk membentuk kerajaan baharu demi kepentingan negara.

Pilihan itu juga tidak digemari beberapa sekutu Muhyiddin seperti Azmin dan juga PAS yang tidak mahu membazirkan tempoh mandat tiga tahun lalu untuk berdepan dengan rakyat semula.

Mereka perlu membuat janji baharu sedangkan janji sebelum ini masih belum ditunaikan dalam tempoh tujuh bulan.

Mereka juga akan diadili oleh pengundi tanpa berpeluang menikmati sepenuhnya hasil atur gerak politik.

Pilihan tersebut juga tidak digemari pemimpin yang masih setia dalam Pakatan Harapan, kerana kejayaan tahun 2018 kini kecundang, dan kini mereka tiada sokongan parti tumpuan Melayu luar bandar.

Pilihan itu juga tidak digemari parti tumpuan Melayu luar bandar Bersatu, kerana ia bermakna mereka melangkah masuk gelanggang pilihan raya tanpa Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi.

Paling untung, Umno dan parti politik dari Sarawak yang menyokong Perikatan Nasional Muhyiddin.

Mereka akan menang lebih banyak malah mungkin paling besar dan meraih untung tanpa parti kecil seperti Bersatu.

Langkah Seharaton pada 23 Februari bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan Dr Mahathir dan menggagalkan rancangan Anwar menjadi perdana menteri – yang ironinya bermula pada September 1998.

Langkah Le Meridien pada 23 September pula untuk menjatuhkan Muhyiddin dan mungkin membolehkan Anwar dilantik perdana menteri, dan kemudiannya meruntuhkannya kembali untuk sasaran utama – pilihan raya mengejut untuk mandat baharu.

Umno tahu ia mampu mendapatkannya semula selepas kalah teruk pada 2018.

Umno boleh menjunjung dan boleh menghumbankan perdana menteri, ia pernah dilakukannya dan masih mampu berbuat demikian.

Muhyiddin tahu perkara itu pada Februari 2020 dan merebut peluang tersebut. Tujuh bulan selepas tarikh itu, Anwar menujukkan beliau mampu melakukan perkara sama.

Namun akhirnya, tiada apa yang dapat diselesaikan sehingga Umno memenuhi kehendaknya dan menguasai semula Putrajaya menjadi parti utama dalam apa-apa gabungan. – 24 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen