‘Feminism’ paling popular dalam kamus Amerika Syarikat


"EVERY WOMEN IS RIOT" antara slogan yang tertera ketika hari Wanita Seduia di Kiev, Ukraine. Hari ini, kamus terkenal Amerika Syarikat, Merriam-Webster mengumumkan perkataan "feminism" sebagai paling popular untuk tahun 2017, berikutan rantaian isu berkaitan wanita sejak Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengangkat sumpah sebagai presiden AS. – Gambar AFP, 13 Disember, 2017.

SEPANJANG tempoh pemerintahan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menjadi presiden, perkataan “feminism” telah diangkat oleh kamus utama negara itu sebagai perkataan paling popular 2017, berikutan rasa amarah dan protes kaum wanita seluruh negara itu terhadap isu tuduhan salah laku seksual oleh kaum lelaki yang berada ditampuk kuasa.

Merriam-Webster memberi pengiktirafan “Word of the Year” itu sebagai menghargai penggunaan perkataan atau kata yang mencengkam sepanjang tahun lepas. 

Tahun ini, kamus itu mengumumkan “feminism” (feminisme) naik mendadak dalam carian online iaitu sebanyak 70% berbanding 2016.

Kenaikan itu kerana kerancakan penggunaan perkataan itu dalam pelbagai laporan berita dan acara.

Kamus itu berkata, perkataan mula itu mengembang penggunaannya berikutan Women’s March di Washington dan beberapa bandar lain di AS pada 21 Januari, sehari selepas Trump mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika.

Selain itu, punca yang merancakkan lagi penggunaan “feminism” bila mana Kellyanne Conway mengumumkan beliau tidak menganggap dirinya sebagai seorang feminis.

Conway merupakan wanita pertama yang menjayakan kempen presiden AS.

Ia turut dipopularkan drama bersiri “The Handmaid’s Tale”, mengenai kisah fiksyen zaman distopia di mana wanita hidup sebagai pelacur di bawah pentadbiran diktator, selain filem blockbuster Hollywood  “Wonder Woman” yang dibintangi pelakon Israel, Gal Gadot.

Merriam-Webster berkata, antara penyumbang populariti “feminism” apabila timbul isu hangat tuduhan salah laku seksual yang memanaskan punggung pemain utama Hollywood, politikus, ahli perniagaan sehingga mencetusnya kempen #MeToo di media sosial oleh wanita seluruh dunia.

Maksud terkini “feminism” dalam kamus itu adalah “teori politikal, ekonomi, dan kesaksamaan sosial jantina” dan “aktiviti terancang yang melibatkan hak dan minat wanita.”

Antara perkataan popular lain untuk 2017 adalah “complicit,” (berkomplot) yang membawa kepada kisah pengarah FBI yang dipecat James Comey oleh Trump, campur tangan Rusia dalam pilihan raya 2016, dan komen Ivanka Trump yang berkata beliau sendiri tidak tahu apa maksud perkataan “complicit” itu.

Sehubungan itu, kenyataan Ivanka itu diparodikan melalui rancangan lawak jenaka terkenal “Saturday Night Live.”

Antara perkataan lain yang popular ialah “dotard,” yang digunakan pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un dalam kenyataannya terhadap Trump. – AFP, 13 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen