Saya masih perdana menteri yang sah, kata Muhyiddin


Kamles Kumar

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin turut menggesa agar rakyat Malaysia kekal tenang dalam menghadapi situasi politik itu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2020.

KERAJAAN Perikatan Nasional masih berdiri teguh dan saya adalah perdana menteri yang sah, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya beliau mengambil maklum kenyataan Anwar Ibrahim yang mendakwa mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu namun sebelum ia dibuktikan, beliau kekal sebagai perdana menteri.

“Kerajaan Perikatan Nasional masih berdiri teguh dan saya adalah perdana menteri yang sah,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah presiden Bersatu, Anwar perlu buktikan terlebih dahulu dakwaannya dan menunjukkan jumlah sokongan sebelum mendakwa kerajaan kini sudah tumbang.

“Dakwaan ini hendaklah dibuktikan menurut proses dan kaedah yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan. Tanpa melalui proses tersebut kenyataan Anwar hanyalah dakwaan semata-mata,” kata Muhyiddin.

Beliau turut menggesa agar rakyat Malaysia kekal tenang dalam menghadapi situasi politik itu.

“Isu ini akan ditangani dengan baik menurut proses undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan,” kata Muhyiddin.

Terdahulu hari ini, Anwar mengumumkan kerajaan Perikatan Nasional telah tumbang kerana beliau mempunyai sokongan yang cukup untuk membentuk kerajaan baharu.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan jumlah sebenar sokongan yang diterima walau diasak beberapa kali oleh pemberita pada sidang media di sebuah hotel di ibu negara hari ini.

Presiden PKR itu berkata butiran lanjut mengenai jumlah sokongan akan didedahkan selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, yang kini menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Tidak lama selepas pengumuman Anwar itu, DAP dan Amanah mengeluarkan kenyataan menyatakan sokongan mereka terhadap presiden PKR.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi juga berkata beliau tidak dapat menghalang ahli-ahli Parlimennya yang ambil keputusan untuk menyokong Anwar Ibrahim membentuk kerajaan baharu.

DAP mempunyai 42 ahli Parlimen dan Amanah 11. PKR mempunyai 38 ahli Parlimen manakala Umno mempunyai 41 ahli Parlimen. – 23 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen