GPS sokong penuh Muhyiddin Yassin


Desmond Davidson

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata Gabungan Parti Sarawak (GPS) tetap menyokong dan berada di belakang Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2020.

GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) tetap menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kata Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg hari ini.

Menolak dakwaan bahawa beberapa ahli Parlimen GPS telah belot untuk menyokong presiden PKR berkenaan, Abang Johari berkata bahawa dakwaan Anwar untuk menyingkirkan Muhyiddin dari jawatan perdana menteri adalah mengelirukan.

“Waktu pengumuman dibuat juga pelik.

“Saya telah katakan pada Hari Malaysia (perjumpaan di Sibu minggu lalu) dan saya katakan sekarang: Kami tetap berada di belakang Muhyiddin Yassin,” katanya kepada wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat koordinasi pembangunan negeri di Serian kira-kira 60 kilometer dari Kuching hari ini.

Abang Johari turut menolak laporan berita bahawa GPS didakwa tidak berpuas hati dengan jumlah cukai jualan (SST) negeri ke atas produk petroleum.

“Kami berpuas hati dengan cukai jualan.”

Beliau turut menafikan sebarang penglibatannya dalam langkah Anwar untuk menjadi perdana menteri.

“Kita jaga diri sendiri, kita perlu bekerja untuk rakyat,” kata Abang Johari.

“Kebajikan rakyat lebih penting.”

Sementara itu, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) James Masing membidas Anwar kerana didakwa cuba memanipulasi pilihan raya Sabah.

“Sangat tidak patut seseorang yang ingin menjadi perdana menteri melakukan perkara itu,” kata Masing, yang mengiringi Abang Johari.

Masing yang juga timbalan ketua menteri berjata beliau percaya pengundi di Sabah tidak akan mudah terpengaruh dengan helah Anwar.

Ditanya sama ada Anwar ada menghubunginya baru-baru ini, Masing menjawab: “Saya tidak akan jawab panggilannya”.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Abdul Karim Hamzah berkata dakwaan GPS tidak berpuas hati dan menyokong Anwar adalah tidak benar.

Karim yang juga menteri pelancongan seni dan kebudayaan negeri berkata dakwaan itu hanya untuk mewujudkan ketidakstabilan politik.

“GPS sentiasa kukuh bersama Perikatan Nasional dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Kami tidak akan mudah terpengaruh dan boleh diperkotak-katikkan…lebih-lebih lagi oleh seseorang seperti Anwar.

“Tiada apa yang akan menggugat parti GPS,” kata Karim melalui Facebok GPS.

Anwar hari ini mendakwa telah mendaoat sokongan cukup ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu namun tidak menyatakan jumlah sebenar sokongan berkenaan walau diasak beberapa kali oleh pemberita.

Katanya, butiran lanjut mengenai jumlah sokongan akan didedahkan selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, yang kini menjalani rawatan di  Institut Jantung Negara (IJN). – 23 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen